Saturday, July 17, 2010

:: Naik harga...lain dikata lain dialami ?


Pengurangan Subsidi Kurang Dirasai Rakyat Di Sabah Dan Sarawak

KUCHING, 16 Julai (Bernama) -- Ramai yang tidak begitu merasa kesan daripada pengurangan subsidi terutama ke atas bahan api khususnya petrol, diesel dan gas cecair (LPG) serta gula mulai hari ini yang sekaligus menyaksikan kenaikan harga barangan ini.

Petrol RON 95 kini dijual pada harga RM1.85 seliter berbanding RM1.80 sebelum ini manakala LPG berharga RM1.85 sekilogram berbanding RM1.75 sebelum ini.

Bagi gula, ia dijual RM1.90 sekilogram berbanding RM1.65 sebelum ini.

Tinjauan Bernama di sini mendapati harga secawan kopi masih kekal antara RM1.50 hingga RM1.80.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Datuk Seri Dr James Jemut Masing berkata harga baru itu tidak menjejaskan rakyat kerana ia masih munasabah.

"Kesan kepada rakyat di luar bandar tidak begitu terasa kerana pengurangan subsidi masih munasabah kepada rakyat untuk menyesuaikannya secara perlahan-lahan.

"Lama kelamaan, rakyat akan faham beban subsidi yang terpaksa ditanggung kerajaan dan kebaikan di sebalik pengurangan subsidi. Hasil daripada pengurangan subsidi turut bermakna lebih banyak wang dapat disalurkan untuk pembinaan infrastruktur di Sarawak," katanya kepada Bernama.

Presiden Persatuan Pengguna Miri, George Bennett Francis berkata pengurangan subsidi tidak begitu terasa walaupun pengumumannya mengejutkan.

Bagi kenaikan harga gula, beliau berkata ia adalah dialu-alukan demi kesihatan tetapi kerajaan perlu mencari penggantu kepada bahan pemanis lain yang lebih berkhasiat memandangkan ramai yang masih memerlukan gula.

Peniaga, Simpson Njock berkata kerajaan mengambil langkah bijak mengurangkan subsidi gula kerana ia dapat mengurangkan penyakit yang berpunca daripada pengambilan gula.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun menyifatkan keputusan kerajaan untuk mengurangkan subsidi bahan api dan gula sebagai tepat pada masanya dan wajar disokong oleh semua pihak.

Beliau berkata sumber kewangan yang diperolehi daripada pengurangan subsidi boleh disalurkan untuk tujuan membangunkan masyarakat termasuk daripada segi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Rakyat hendaklah melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif kerana melalui pengurangan subsidi banyak wang dapat digunakan terutama dalam bidang pendidikan dan pembasmian kemiskinan. Dengan ini lebih ramai rakyat dapat dibantu serta dibela," katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Tawau, Hasan Timbasal berkata pelarasan harga bahan bakar berkenaan tidak memberi kesan besar kepada nelayan kerana pada prinsipnya mereka masih mendapat subsidi yang besar.

Kalau dahulu beza harga bahan api yang dibeli nelayan berbanding penggunaan biasa ialah 50 sen, selepas kenaikan harga bahan bakar sebanyak 5 sen, perbezaan itu masih kekal.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana subsidi yang kami perolehi sekarang sebenarnya masih besar. Sehubungan itu, bagi pihak persatuan, kami akan menjelaskan kepada ahli kami berhubung perkembangan ini agar mereka tidak keliru," katanya.

Hasan juga mencadangkan supaya kerajaan menjelaskan perubahan dasar tersebut kepada semua lapisan rakyat termasuk komuniti nelayan bagi mengelak timbul persepsi tidak tepat terhadap kerajaan.

-- BERNAMA


.................................................................................


Menangisi Kenaikan Harga Barang

Disiarkan pada Jul 16, 2010 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan | Tiada Komen

Menangisi Kenaikan Harga Barang

..Menangisi kedukaan rakyat atas kenaikan 5 harga barang yang terbaru, maka di sini dibawa semula artikel lama Dr. Mohd Asri Zainul Abidin AGAMA BUKAN CANDU UNTUK MENGKHAYALKAN ORANG MISKIN yang ditulis dan disiarkan di media utama semasa kenaikan harga minyak di zaman Pak Lah..

Aduhai malangnya, ketika kerajaan sedang membina istana negara yang berharga 811 juta yang hanya ekslusif untuk segolongan manusia sahaja, serta di sana berbagai lagi pembaziran yang lain, tiba-tiba rakyat awam menjadi mangsa, subsidi mereka pula yang dirampas..

Kenangilah orang-orang kampung yang susah, ibubapa yang terhad pendapatan mereka dan anak-anak miskin yang akan termangsa dari setiap kenaikan harga barang.. mereka tiada istana mewah, tiada kereta mewah, tiada hidangan mewah..

Ketika golongan bangsawan dan pembesar itu bersenang lenang dengan segala kemewahan yang telah merampas subsidi rakyat, orang miskin menangis suapan mereka yang makin meninggi harganya, yang meratah tenaga jasad dan kekayaan negara mereka..

* Dr. Mohd Asri Zainul Abidin *

..........................................................................


Tidak Munasabah Kerajaan Belanja RM1 Bilion Setahun Beri Subsidi Gula

BANGI, 17 Julai (Bernama) -- Adalah tidak munasabah bagi kerajaan berbelanja RM1 bilion setahun bagi memberi subsidi kepada satu barangan yang memberi kesan tidak baik kepada kesihatan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Sabtu.

"Kita harus lihat secara makro di mana antara lain kenaikan harga gula dapat mengekang ketirisan barangan kawalan itu ke negara jiran," katanya kepada media selepas merasmikan Sukan Antara Agensi Kementerian itu di Pusat Latihan Petronas di sini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas program rasionalisasi subsidi yang melibatkan pengurangan subsidi bagi harga gula yang diumumkan kerajaan Khamis lalu.

Khamis lalu, kerajaan mengumumkan bahawa subsidi gula dan bahan api akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat.

Harga gula diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram, diikuti minyak petrol RON 95 dan diesel masing-masing dikurangkan sebanyak 5.0 sen seliter, serta gas petroleum cecair (LPG) dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram.

Katanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan merasai kesan kenaikan ini tetapi "kalau kita bijak menguruskan perniagaan, kita tidak harus merasai sebarang kesannya dengan meningkatkan produktiviti."

Namun, beliau berharap tiada pihak yang akan mengambil kesempatan dari kenaikan harga yang kecil ini.

"Langkah mengurangkan kandungan gula tidak akan menyebabkan kos melambung. PKS boleh ubah suai dan struktur kos dapat dikekalkan," katanya.

Mengulas tentang program rasionalisasi subsidi kedua, Mustapa berkata barangan yang akan terlibat tentulah yang bergantung kepada pasaran antarabangsa.

Namun, beliau memberi jaminan kerajaan akan kekalkan subsidi untuk bidang pendidikan dan pertanian.

"Kita tidak boleh pertahankan (harga pada) keadaan semasa. Malah subsidi bermakna kita mengambil hasil cukai untuk bantu pengguna."

"Kita kaji semula dengan melihat harga di pasaran antarabangsa. Jadi, kalau meningkat, sudah pasti kerajaan akan lihat semula kadar subsidi tersebut dan pada masa yang sama, kalau harga turun, penyelarasan akan dibuat bagi mengurangkan harga."

-- BERNAMA