Tuesday, July 27, 2010

:: Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 79)

Pengawal tidak boleh pegang MyKad orang lain


2010/07/26
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Hanya mereka yang diberi kuasa secara bertulis saja dibenarkan memegang dan menyimpan kad pengenalan seseorang individu, sama ada untuk memasuki bangunan kediaman, syarikat, kementerian atau agensi kerajaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jainisah Mohd Noor berkata, tindakan itu diambil untuk melindungi maklumat peribadi dalam MyKad, sekali gus mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan melakukan perkara tidak bertangggungjawab.

“Tak kira siapa, semua pihak tidak boleh menyimpan kad pengenalan orang lain, kecuali mendapat kuasa secara bertulis daripada Ketua Pengarah JPN.

“Ia bertujuan melindungi maklumat di dalam Mykad, apatah lagi ketika ini, banyak maklumat peribadi dalam kad pengenalan mungkin boleh disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Jainisah berkata, mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 79), di bawah Peraturan 8A, Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 78) adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak untuk memegang dan menyimpan kad pengenalan orang lain.

Beliau berkata, mengikut peraturan itu, pemilik bangunan atau pengawal keselamatan yang bertanggungjawab terhadap bangunan terbabit hanya berhak meneliti dan menyemak kad pengenalan.

“Selepas berpuas hati, mereka perlu mengembalikan semula kepada individu terbabit sebelum mengeluarkan pas atau permit sementara untuk berada di kawasan premis mereka.

“Mereka tidak boleh menyimpan jika tidak mempunyai surat kuasa secara bertulis,” katanya.

“Jika masih berdegil, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Peraturan 25 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya JPN menasihatkan pemilik bangunan supaya mencari satu mekanisme baru untuk membenarkan pelawat memasuki premis mereka tanpa perlu meninggalkan kad pengenalan di kaunter pengawal keselamatan.