Tuesday, July 27, 2010

:: Guru/PPPS DG41- DG48 dibenarkan berpolitik ?

Media Statements




27/07/2010 - Keputusan Membenarkan Pegawai Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga Gred DG48 yang berkhidmat dalam Institusi Pendidikan Melibatkan Diri Dalam Politik



KENYATAAN MEDIA

Keputusan Membenarkan Pegawai Pendidikan Siswazah
Gred DG41 Hingga Gred DG48 Yang Berkhidmat Dalam
Institusi Pendidikan Melibatkan Diri Dalam Politik
--------------------------------------------------------------------------------------

Adalah dimaklumkan bahawa mengikut Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat pegawai tersebut hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha Kementerian yang berkenaan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

2. Dalam hubungan ini, Peraturan tersebut akan dipinda bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga Gred DG48, selain Pengetua atau Guru Besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi Kerajaan, untuk bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik setelah mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu. Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad.

3. Kemudahan ini merupakan satu langkah pembaharuan dalam Perkhidmatan Awam, berlandaskan hakikat para guru suatu masa dahulu memain peranan yang penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara. Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik. Namun, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama mereka iaitu mendidik anak-anak tidak terjejas dengan penglibatan dalam politik.

4. Untuk ini pindaan terhadap Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk dikuatkuasakan mulai 1 Ogos 2010. Tindakan sedang diambil untuk mewartakan pindaan Peraturan tersebut.

5. Mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Syarat-syarat mengenai perkara ini sedang disediakan bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran. Mereka juga hendaklah mematuhi syarat-syarat berkaitan dengan batasan tugas mereka sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dengan aktiviti mereka dalam politik.




(TAN SRI MOHD. SIDEK BIN HJ. HASSAN)
Ketua Setiausaha Negara

Julai 2010