Thursday, July 29, 2010

:: Politik: DS Najib...bidang pendidikan mendahului

28 Julai, 2010 19:00 PM

Kerajaan Tidak Mahu Pegawai Siswazah Lain Terlibat Politik - Najib

PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Kerajaan belum bercadang membenarkan pegawai siswazah lain selain dalam bidang pendidikan untuk melibatkan diri dalam politik bagi mengelak konflik kepentingan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata berbanding guru yang tugas mereka hanya mendidik dan tidak mempunyai kuasa eksekutif, maka tidak akan berlaku konflik kepentingan jika mereka memegang jawatan dalam parti politik.

"Kita tidak mahu mereka yang ada kuasa (eksekutif) memegang jawatan (dalam politik). Bila kita ada jawatan tertentu...kuasa eksekutif, ada kemungkinan boleh berlaku pertembungan daripada segi kepentingan atau konflik kepentingan.

"Kita mula dengan kumpulan guru dulu, lepas itu kita tengok sama ada wajar kita perluaskan untuk kumpulan-kumpulan (pegawai siswazah) lain atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan "Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Najib mengulas mengenai kebenaran kepada pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk melibatkan diri dalam politik bermula 1 Ogos ini.

Dalam laporan akhbar pada Rabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

Berikutan pengumuman itu, ia membolehkan kira-kira 140,000 guru berijazah di seluruh negara terlibat dalam politik.

Mengulas lanjut, Najib berkata dengan membenarkan guru terlibat dalam politik, ia akan dapat mengukuhkan lagi kepimpinan politik tanah air kerana golongan itu boleh menyumbang daripada segi kepimpinan yang bersifat intelektual.

"Kepimpinan intelektual di peringkat akar umbi akan menjadi satu kekosongan jika sekiranya guru-guru tidak dibenarkan memegang jawatan (politik)," katanya.

Perdana Menteri berkata guru dihormati oleh masyarakat kerana mereka mempunyai taraf kelulusan dan ilmu pengetahuan yang lebih berbanding kelompok lain dalam sesuatu kawasan setempat.

Beliau berkata kepimpinan bersifat intelektual dan tidak bersandarkan kepada material itu juga boleh menyumbang kepada pembentukan akhlak politik yang lebih baik di kalangan pemimpin di peringkat akar umbi.

"Jadi, kalau guru menjadi pemimpin, mereka memberi kepimpinan yang lebih diterima sebab nilai kepimpinan itu bersandar kepada keilmuan dan kedudukan mereka yang boleh dikatakan dihormati oleh masyarakat secara umumnya walaupun ada kes-kes tertentu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap guru-guru tidak mengabaikan tugas hakiki mereka sebagai pendidik dan mereka juga perlu menghormati struktur kepimpinan di sekolah dan jabatan masing-masing, selepas dibenarkan terlibat dalam politik.

"Kita tidak boleh katakan, bila kita ada jawatan politik, kita membelakangkan arahan jabatan dan sebagainya," katanya. Ditanya kemungkinan berlakunya perpecahan di kalangan guru di sesebuah sekolah tersebut dengan langkah kerajaan itu, Perdana Menteri percaya perkara itu tidak akan berlaku.

"Saya tidak terfikir mereka akan bersifat keterlaluan walaupun mereka ada jawatan politik. Mereka ini orang yang dewasa daripada segi pemikiran dan dulu pun kita telah benarkan (guru terlibat politik), tidak berlaku perpecahan dalam sesebuah sekolah itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata setakat ini, kerajaan Persekutuan tidak berhasrat untuk memansuhkan dasar pemberian diskaun bumiputera bagi pembelian hartanah komersial dan rumah sewa di negara ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua supaya kerajaan Selangor memansuhkan diskaun bumiputera bagi pembelian hartanah komersil dan rumah sewa di negeri berkenaan.

"(Perkara) ini sebenarnya kuasa negeri, penentuan ini termaktub dalam kelulusan Perintah Pembangunan (Negeri). Kita tidak ada cadangan menghapuskan diskaun kepada bumiputera (mengenai perkara itu) pada masa ini.

"Saya mengaku ia tidak mungkin akan kekal selamanya tetapi pada masa ini (menghapuskan diskaun tersebut) belum sesuai lagi," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin DAP supaya tidak terus memberi tekanan kepada golongan Melayu dan bumiputera terhadap perkara itu kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan tidak puashati di kalangan mereka.

-- BERNAMA