Thursday, July 22, 2010

:: Guru di Sarawak: STU utamakan rakyat tempatan ?

STU berharap 70 peratus guru di negeri ini rakyat tempatan


KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) berharap sekurang-kurangnya 70 peratus guru yang mengajar di negeri ini adalah rakyat tempatan dalam tempoh terdekat ini.

William Ghani

William Ghani

Presidennya William Ghani Bina percaya jika 70 peratus guru yang mengajar di negeri ini adalah orang tempatan beberapa masalah membabitkan guru dan masyarakat setempat dapat diatasi.

“Jika guru yang berasal dari Sarawak ditempatkan di Sarawak masalah komunikasi antara guru dan penduduk tempatan tidak akan wujud kerana kelebihannya ialah guru daripada rakyat Sarawak sendiri lebih memahami situasi, budaya dan cara hidup penduduk di sini.

“Ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada semua pihak iaitu guru, ibu bapa dan pelajar, “ katanya kepada Utusan Borneo, semalam.

Selain itu katanya kos penghantaran dan penempatan guru dapat dikurangkan berbanding menghantar guru dari Semenanjung Malaysia mengajar di Sarawak mahupun Sabah.

Pada masa sama katanya, masalah gangguan emosi dialami guru khasnya yang tinggal berjauhan dari keluarga dapat diatasi.

“Masalah ini sememangnya kelihatan remeh tetapi hakikatnya ia boleh menjejaskan tumpuan guru mengajar, yang mendapat tempiasnya, pelajar,” ujarnya.

William juga berpendapat menempatan guru di negeri kelahiran sendiri dan dalam konteks Sarawak katanya ia secara tidak langsung memberi motivasi kepada penduduk tempatan tentang pentingnya pendidikan dalam mengubah taraf hidup seseorang.

“Apabila melihat anak tempatan menjadi guru, ibu bapa khasnya yang tinggal di pedalaman akan sedar kepentingan pendidikan dalam mengubah taraf hidup mereka,” tambahnya.

Menurutnya ketika ini kira-kira 50 peratus guru yang mengajar di negeri ini adalah di kalangan rakyat tempatan selebihnya dari Sabah dan Semenanjung Malaysia.

William berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan kementerian sedang mengusahakan supaya guru atau bakal guru yang berasal dari Sabah dan Sarawak ditempatkan di negeri asal masing-masing.

Muhyiddin berkata proses itu sudah pun dimulakan berdasarkan permintaan daripada kedua-dua negeri itu.

Bagaimanapun katanya, ia akan mengambil masa dan dijalankan secara berperingkat.

Bernama memetik Muhyiddin sebagai berkata: “Sebagaimana disuarakan Sabah dan Sarawak (kerajaan negeri) minta guru (dari negeri tersebut) dihantar balik supaya budak lebih faham.

“Tapi ini akan mengambil masa, kerana kita tidak boleh terus tukar guru dari Semenanjung balik ke Semenanjung dan hantar (kembali) guru Sabah dan Sarawak), kadang-kadang bilangan guru pun tak mencukupi.”