Friday, July 02, 2010

:: TS Muhyiddin: Pengambilan segera guru Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil

Muhyiddin arah pengambilan segera guru bahasa ibunda

July 1, 2010, Thursday

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengarahkan pengambilan segera bagi guru Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil supaya mereka dapat ditempatkan di kira-kira 7,000 sekolah kebangsaan, mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bagi meningkatkan pengambilan bagi guru kedua-dua bahasa itu, dalam usaha melaksanakan dasar Bahasa Ibunda Pelajar (POL) di semua sekolah kebangsaan.

“Tak ada silapnya dalam sistem pendidikan kita kerana semuanya ada di dalamnya. Seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini, bagaimana cara kita hendak menyediakan para guru bagi mengajar Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan.

“Sudah tentu ada sebabnya dalam keputusan awal kenapa kita mencadangkannya supaya tidak kira India atau Cina, pelajar itu perlu tahu bahasa ibunda mereka dan apabila mereka pergi ke sekolah kebangsaan, kita mengajar bahasa ibunda mereka.

“Kita tidak perlu berdebat mengenai adanya sekolah Cina, Tamil dan kebangsaan, itu legasi dan boleh menimbulkan kekeliruan dan kita kena terima,” katanya.

Muhyiddin menjawab satu soalan semasa siri Syarahan Perdana bertajuk ‘Peranan Pendidikan Dalam Pembangunan Kepimpinan’ di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, bagaimanapun berkata usaha bagi mengisi kekosongan guru Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di semua sekolah kebangsaan tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata ia bukan diwajibkan untuk melaksanakan pengajaran Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan tetapi bagi ibu bapa yang mendapat pendidikan dalam bahasa itu, mereka mungkin berasa lebih selesa untuk menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan, yang mempunyai pengajaran berkualiti dalam kedua-dua bahasa itu.

Dasar POL itu dilancarkan pada 2006 bagi menjadikan sekolah-sekolah kerajaan lebih menarik kepada pelajar bukan Melayu dan memudah-kan mereka mempelajari bahasa ibunda dan menggalak-kan perpaduan.

Setakat ini terdapat 373 guru mengajar Bahasa Mandarin dan 163 Bahasa Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan di bawah dasar POL. — Bernama