Lebih baik berterus terang
by Abang Ismail Abang Su’udJuly 4, 2010, Sunday
Penjelasan perlu jujur jika sesuatu pembangunan, rancangan tidak dapat dijalan: KM
BINTULU: Penjelasan perlu dibuat dengan sejujurnya oleh wakil-wakil rakyat dan kakitangan perkhidmatan awam sekiranya sesuatu pembangunan mahupun sesuatu rancangan itu tidak dapat dijalankan di sesuatu tempat supaya rakyat lebih yakin dan percaya situasi yang dihadapi oleh kerajaan.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, sekiranya kita (wakil rakyat dan kakitangan awam) tidak berani bercakap yang benar sebaliknya hanya berjanji sehingga rakyat pula tertunggu- tunggu, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat kepada kita.
“Keadaan inilah yang amat bahaya apabila tibanya pilihan raya,” ujarnya berucap merasmikan Program Sejiwa Senada Peringkat Bahagian Bintulu bertemakan ‘Kerajaan Bersama Rakyat’ di tapak lapangan terbang lama semalam.
“Disebabkan itu kita perlu bersikap jujur dan ikhlas apabila memberi penjelasan dalam membantu dan mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat,” tambahnya.