Showing posts with label Mykad. Show all posts
Showing posts with label Mykad. Show all posts

Tuesday, October 19, 2010

:: Selangau-Mukah: Ramai tiada sijil lahir dan MyKad ?



Wilayah

Sabah&Sarawak: 'Pelarian' di Mukah
Oleh Mohd Roji Kawi
mdroji@bharian.com.my
2010/10/19


1,000 kaum Iban tiada sijil lahir, MyKad berpunca kerenah birokrasi

KUCHING: Ibarat pelarian di bumi sendiri. Begitulah nasib tidak kurang 1,000 penduduk kaum Iban yang tinggal di kawasan Selangau, dalam Bahagian Mukah di tengah negeri ini.

Mereka tidak mempunyai sijil lahir dan MyKad disebabkan pelbagai kerenah birokrasi yang menyukarkan mereka mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Lebih malang bagi yang sudah mempunyai sijil lahir selepas program khas pendaftaran dilakukan dalam tempoh 10 tahun lalu, mereka tetap gagal memohon untuk mendapatkan MyKad hanya disebabkan masalah yang mereka sendiri tidak pasti.

Masalah itu berlaku apabila dalam petak kewarganegaraan pada sijil kelahiran mereka itu tertera perkataan `kerakyatan tidak dapat ditentukan' dan perkataan itulah yang membuatkan permohonan mereka terpaksa ditolak.

"Kebanyakan mereka buta huruf. Apabila menerima sijil lahir, mereka tentunya gembira dan terus ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara untuk memohon MyKad, namun mereka pulang hampa apabila diberitahu tidak layak memohon dokumen itu kerana pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan kerakyatan.

“Saya tidak faham, mengapa terlalu sukar untuk mengesahkan kerakyatan mereka ini kerana kita ada ketua masyarakat khususnya Tuai Rumah dan Penghulu yang memang mengetahui latar belakang sebenar anak buah mereka.
“Mengapa tidak mendapatkan bantuan pemimpin masyarakat itu untuk mengesahkan kerakyatan, sebaliknya lebih rela membiarkan rakyat kita sendiri ibarat pelarian di negeri sendiri," itu luahan Ahli Parlimen Selangau, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Entulu mengakui sudah bosan dengan kerenah birokrasi yang berlarutan sejak sekian lama sehingga menyebabkan ramai penduduk di kawasan pedalaman masih menghadapi masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri.

"Saya sendiri sanggup mengeluarkan peruntukan peribadi bagi membantu mempercepatkan proses untuk mendapatkan sijil lahir dan MyKad penduduk di kawasan Selangau sejak 10 tahun lalu.

"Namun, masalah itu masih berlarutan dan sehingga kini masih ada kira-kira 600 penduduk kaum Iban di kawasan Selangau belum memiliki sijil lahir, kira-kira 400 lagi tidak mempunyai MyKad manakala mereka yang tidak diketahui kerakyatan pula kira-kira 100 orang," katanya.

Entulu juga mendakwa ada sebuah rumah panjang yang mempunyai hampir 100 penduduk di Hulu Oya, sebelum ini tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sejak lima generasi.

Bagaimanapun, mereka kini sudah `disahkan' sebagai rakyat Malaysia selepas program pendaftaran dilaksanakan beliau bersama JPN, baru-baru ini.

Bagi Matliuos anak Nawah, 20, pengalaman ditahan polis di Sungai Maong di sini, Ogos lalu pasti meninggalkan kesan pahit dalam hidupnya.

Matlious yang bekerja sebagai buruh binaan di bandar raya ini disangka pendatang asing tanpa izin kerana dia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Saya tidak mempunyai apa-apa dokumen menyebabkan polis ingat saya sebagai orang Indonesia. Saya tahu saya tidak boleh pergi jauh kerana tidak memiliki pengenalan diri, tetapi saya juga perlu keluar dari kampung untuk bekerja mencari rezeki.

"Tidak tahu berapa lama lagi saya akan menjadi pelarian seperti ini sedangkan saya adalah rakyat Malaysia yang lahir dan membesar di Sarawak. Ibu bapa saya juga orang Sarawak jati," katanya.

Matlious berkata, sebagai bukti dia adalah anak jati Sarawak dia hanya membawa sijil berhenti sekolah rendah selain menunjukkan kesan suntikan vaksin BCG di lengan kirinya.

"Saya merayu agar kami diberi dokumen pengenalan diri. Takkanlah selama-lamanya saya terpaksa membawa sijil berhenti sekolah darjah enam untuk membuktikan saya rakyat Malaysia," katanya.




Tuesday, July 27, 2010

:: Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 79)

Pengawal tidak boleh pegang MyKad orang lain


2010/07/26
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Hanya mereka yang diberi kuasa secara bertulis saja dibenarkan memegang dan menyimpan kad pengenalan seseorang individu, sama ada untuk memasuki bangunan kediaman, syarikat, kementerian atau agensi kerajaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jainisah Mohd Noor berkata, tindakan itu diambil untuk melindungi maklumat peribadi dalam MyKad, sekali gus mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan melakukan perkara tidak bertangggungjawab.

“Tak kira siapa, semua pihak tidak boleh menyimpan kad pengenalan orang lain, kecuali mendapat kuasa secara bertulis daripada Ketua Pengarah JPN.

“Ia bertujuan melindungi maklumat di dalam Mykad, apatah lagi ketika ini, banyak maklumat peribadi dalam kad pengenalan mungkin boleh disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Jainisah berkata, mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 79), di bawah Peraturan 8A, Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 78) adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak untuk memegang dan menyimpan kad pengenalan orang lain.

Beliau berkata, mengikut peraturan itu, pemilik bangunan atau pengawal keselamatan yang bertanggungjawab terhadap bangunan terbabit hanya berhak meneliti dan menyemak kad pengenalan.

“Selepas berpuas hati, mereka perlu mengembalikan semula kepada individu terbabit sebelum mengeluarkan pas atau permit sementara untuk berada di kawasan premis mereka.

“Mereka tidak boleh menyimpan jika tidak mempunyai surat kuasa secara bertulis,” katanya.

“Jika masih berdegil, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Peraturan 25 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya JPN menasihatkan pemilik bangunan supaya mencari satu mekanisme baru untuk membenarkan pelawat memasuki premis mereka tanpa perlu meninggalkan kad pengenalan di kaunter pengawal keselamatan.