Yasmin Ahmad meninggal dunia
Jul 26, 09 12:18am
Jul 26, 09 12:18am
Pengarah filem dan iklan yang terkenal Yasmin Ahmad, 51, telah meninggal dunia setelah dilaporkan tenat awal malam ini. Pemergian Yasmin, seorang pengarah yang mengangkat perfileman negara mutakhir ini bersama kontroversinya sendiri, diumumkan dalam berita tengah malam TV3 sebentar tadi. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira 11.25 malam ini di Hospital Pakar Damansara, lapor Bernama, yang memetik pengesahan daripada ketua pegawai operasi Media Prima, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di situ.
Khamis lalu, Yasmin dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital swasta itu setelah diserang angin ahmar kira-kira jam 4.30 petang di stesen TV3. Beliau waktu itu berada di Sri Pentas untuk berjumpa dengan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan suaminya Datuk Khalid Jiwa apabila beliau dilaporkan menghadapi kesukaran bernafas dan pengsan. Siti Nurhaliza, duta Persatuan Bulan Sabit Malaysia, dilaporkan turut memberikan bantuan penafasan (CPR) kepada Yasmin bersama dengan seorang doktor panel stesen tersebut. Di hospital pakar itu, para doktor dilaporkan berjaya menstabilkan beliau sebelum membuat pembedahan otak kira-kira jam 6 petang hari yang sama. Filem-filemnya Sepet, Gubra dan Mukhsin cukup terkenal, termasuk di di luar negara dan menggondol beberapa anugerah di beberapa festivel filem antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes.