Setiap insan yang sihat dan waras akan terpanggil untuk berumah tangga. Niat dan hasrat untuk tujuan tersebut mungkin berbeza antara individu. Mungkin ada yang bertujuan untuk bergantung hidup dan menumpang kasih, mungkin ada yang lebih kepada untuk menjaga dirinya ketika sakit dan uzur apabila usia menuju ke penghujungnya, dan mungkin akibat desakan keadaan dan keluarga. Semua ini adalah serba mungkin dan pelbagai kemungkinan lain yang mungkin sama atau mungkin berbeza antara individu. Apa2pun kesemuanya menjurus kepada perlunya pasangan hidup yang berlainan jantina, bukan yang sebaliknya.
Ada masa dan ketikanya pasangan ini berbahagia dan amat berbahagia... hidup dan kehidupan mereka serta ahli keluarga yang terhasil memperlihat dan menjelaskan keadaan tersebut. Hidup dan kehidupan mereka dipenuhi kegembiraan, keseronokan, ketenangan dan kebahagiaan... walaupun kekadangnya lidah tergigit juga. Apa2pun kesemua ini terpancar pada pergaulan, cara hidup mereka, rupa, wajah dan watak mereka... walaupun kekadangnya ada juga yang bijak berlakon seolah2 "beres" semuanya tetapi sebaliknya yang berlaku.
Ada masa dan ketikanya pasangan ini menuju ke arah keruntuhan dan kemusnahan... namun jika bijak menakhodakan bahtera rumah tangga serta berkongsi matlamat yang sama... cerah harapan untuk berpatah balik serta mengubah haluan ke arah tujuan dan matlamat yang diidamkan. Begitulah biasanya.
Sewajarnya tujuan dan matlamat dicipta, dibentuk dan dipupuk bersama. Ini bermakna bahawa penglibatan pasangan ke arah yang diidamkan itu perlu ada dan dijiwai bersama. Alangkah baik, alangkah cantik dan alangkah manisnya apabila kesemua ini disekalikan dengan kehidupan beragama... agar tidak mudah goyah dan tersasar.