Friday, July 31, 2009

:: H1N1: Merebak di Brunei

Jumaat, 31 Julai 2009 (MEDIA PERMATA)

Influenza A (H1N1) kini jadi jangkitan komuniti
Oleh Sim Y. H.


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan pendekatan baru dalam usaha mempertingkatkan strategi dan tindakan pengawalan wabak Influenza A (H1N1). Wabak penyakit itu yang sudah merebak di Brunei kini menjadi jangkitan komuniti di kalangan masyarakat menyebabkan kementerian beralih kepada Fasa Perlindungan dan Rawatan sebagai usaha bagi menanganinya, kata kementerian dalam kenyataan.

Antara langkah yang diambil ialah memberikan rawatan antiviral seperti Tamiflu kepada pesakit yang mempunyai tanda-tanda jangkitan influenza dan berisiko tinggi tanpa memerlukan pengesahan ujian makmal.

Kementerian Kesihatan juga menyatakan sejak kes pertama influenza A (H1N1) dilaporkan pada 20 Jun, sebanyak 786 kes dilaporkan dengan 698 kes telah sembuh, 46 kes menerima rawatan di rumah, 13 kes menerima rawatan di hospital dan 28 kes masih dalam siasatan.

Bagaimanapun kementerian berkata jumlah sebenar jangkitan Influenza A (H1N1) di Brunei dijangkakan lebih tinggi kerana ujian makmal dalam Fasa Perlindungan dan Rawatan hanya akan dibuat bagi mereka yang berisiko tinggi sahaja.

Selain dari itu, Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah meneruskan pemantauan penyakit influenza di pusat-pusat kesihatan, mengehadkan pelawat-pelawat yang melawat pesakit di hospital, menasihati orang ramai mengasingkan diri mereka dari orang lain dan mengurangkan interaksi sosial jika mempunyai tanda-tanda penyakit influenza serta mempertingkatkan amalan kebersihan diri dan persekitaran bagi mencegah penyakit merebak.

Kementerian terus mengingatkan orang ramai bahawa walaupun jangkitan A (H1N1) setakat ini tidak begitu teruk dan kebanyakan pesakit akan pulih tanpa memerlukan rawatan antiviral, ia boleh mengakibatkan kesan yang teruk termasuk kematian bagi mereka yang juga menghidap penyakit-penyakit kronik.
Oleh itu, penghidap penyakit kronik yang mempunyai tanda-tanda jangkitan influenza A (H1N1) dinasihati mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.