Peringkat-peringkat gerhana matahari separa yang akan disaksikan
dari negara ini (Brunei) pada 22 Julai 2009
Fenomena gerhana matahari esok pagi
Oleh Hazarry Haji Ali Ahmad
Oleh Hazarry Haji Ali Ahmad
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Para penduduk negara ini akan berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari separa esok pagi, 22 Julai, bermula pukul 8.48 pagi sehingga 10.22 pagi. Ketika gerhana matahari, sebahagian kawasan di bumi akan berada di dalam bayangan bulan di mana dari kawasan ini kejadian gerhana matahari penuh ("total") dapat di saksikan. Fenomena gerhana kali ini akan bermula dari negara India, menuju ke Tanah Besar Cina dan berakhir di kawasan lautan Pasifik.
Dari negara ini, kejadian alam ini akan dapat disaksikan selama 1 jam 34 minit di mana hanya sebahagian kecil matahari iaitu 8.3 peratus akan di selindung oleh bulan pada puncak gerhana jam 9.33 pagi. Orang ramai yang ingin melihat fenomena ini dinasihatkan agar tidak melihat matahari secara terus. Beberapa kaedah selamat antaranya ialah dengan melihat matahari menggunakan penapis suria.
Kejadian gerhana matahari separa yang seterusnya akan berlaku di negara ini pada petang 15 Januari 2010 tahun depan.