Tuesday, April 15, 2008

:: Pusat Latihan Khidmat Negara


Pelatih PLKN lahir bayi lelaki
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA TERENGGANU: Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mulanya mengadu mengalami buasir mengejutkan pengurusan dan pegawai kesihatan sebuah kem latihan di Kemaman apabila sebenarnya sedang kesakitan untuk melahirkan bayi lelaki sebelum dibawa ke hospital berhampiran. Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata pelatih terbabit tidak mengisytiharkannya mengandung, malah keluarganya sendiri tidak dapat mengesan perubahan fizikal pada tubuhnya sebelum melapor diri di kem PLKN berkenaan pada 18 Mac lalu.
Beliau berkata, pelatih itu yang akhirnya diberi pengecualian daripada menyertai PLKN dipercayai melahirkan bayi akibat terlanjur dengan teman lelaki memberi alasan sakit buasir selepas tiga hari melapor diri di kem berkenaan bagi membolehkannya dikecualikan daripada menyertai aktiviti fizikal sepanjang program itu. "Bagaimanapun, tiga minggu selepas berada di kem dia mengadu sakit perut dan pegawai kesihatan terus membawanya ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Tetapi sangat mengejutkan apabila dia disahkan doktor sedang sakit untuk bersalin. Selepas selamat melahirkan anak, keluarga bekas pelatih itu yang terkejut menerima berita mengenai anak mereka membawanya pulang dan pelatih itu diberi pengecualian daripada menyertai PLKN berikutan keadaan kesihatannya," katanya ketika dihubungi semalam.
Pelatih PLKN Siri Lima 2008 sebelum ini dinasihatkan mengisytihar keadaan kesihatan mereka dan semua pelatih sudah dimaklumkan mengenai perkara itu melalui notis pemberitahuan berserta borang perisytiharan yang dihantar kepada mereka sebelum menyertai program.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata semua peserta program itu perlu memastikan mereka berada dalam keadaan sihat dan baik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang mengikuti kursus di kem latihan.