Monday, April 21, 2008

:: Nazri: Bodoh dan tak semua cerdik


Nazri: Bodoh desak PM berundur
Apr 19, 08 6:02pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan perbuatan sesetengah ahli Umno yang meminta perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebagai "tindakan yang bodoh". Sambil menyatakan mereka sebenarnya tidak faham makna demokrasi, beliau berkata, tidak wajar bagi pemimpin Umno untuk mendesak Abdullah melepaskan jawatannya sekarang kerana ia bermakna menafikan hak rakyat yang telah mengundi Barisan Nasional untuk memerintah negara.
"Dalam pilihanraya umum bulan lepas, rakyat telah memilih BN sebagai wakil majoriti dalam Parlimen dengan 140 kerusi yang melayakkan pemimpin BN menjadi perdana menteri. Ini bermakna rakyat, yang mengetahui bahawa BN bertanding dalam pilihanraya dengan Pak Lah sebagai pemimpin BN, sedar bahawa jika BN menangi kerusi terbanyak, dengan itu Pak Lah akan menjadi perdana menteri. Dengan meminta Pak Lah mengundurkan diri, dengan itu mereka sebenarnya memberitahu pengundi bahawa mereka tidak boleh menjadikan Pak Lah sebagai perdana menteri. Apakah hak mereka untuk berkata begitu," katanya di Kota Kinabalu hari ini.
'Bukan semua menteri cerdik'
Sambil menggesa ahli Umno berhenti mendesak Abdullah meletakkan jawatan, Bernama memetik Nazri sebagai berkata adalah salah untuk berbuat demikian. Katanya, Umno sepatutnya menumpukan untuk mentadbir negara ini dan menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat sebelum mereka kehilangan sokongan orang ramai.
"Saya fikir apa yang rakyat mahukan sekarang ialah bagi kami untuk mula mentadbir negara. Mereka sudah bosan diberitahu mengenai apa yang nak dibuat, kini mereka mahu kami mentadbir, bukan Umno memberitahu mereka yang Pak Lah tidak layak menjadi perdana menteri," katanya.
Ditanya pendapatnya mengenai beberapa menteri yang turut meminta Abdullah meletakkan jawatan, Nazri berkata: "Hanya kerana mereka menteri, ia tidak bermakna yang mereka tahu segalanya. Bukan semua menteri cerdik. Tetapi kenapa anda terkejut mengenai apa yang menteri berkenaan katakan. Bekas perdana menteri juga berbuat perkara yang sama. Ini mungkin menyebabkan saya tidak popular tetapi saya fikir apa yang saya katakan adalah betul," katanya.