Monday, April 21, 2008

:: Najib: Bukan penakut


Mutakhir
Saya bukan penakut: Najib
21-04-2008 06:47:13 PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya beliau lemah dan pengecut dan tidak layak menjadi Perdana Menteri. "Ia bukan masalah `Mr Yes Man atau tak berani atau takut sebab saya berpegang kepada prinsip bahawa cara yang terbaik ialah penyerahan kuasa secara tersusun, cara yang terhormat. Itu yang akan memberi makna dan menentukan kepentingan parti tidak terjejas," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita hari ini ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa beliau tidak seharusnya menjadi Perdana Menteri kerana tidak berani mendedahkan sebab sebenar kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya lepas.
Najib berkata sorotan sejarah Umno akan membawa orang ramai melihat bahawa penyerahan kuasa yang pertama antara almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan allahyarham Tun Abdul Razak Hussein berjalan dengan cara yang baik. "(Allahyarham) Tun Hussein Onn serah pada Tun Dr Mahathir pun dengan cara yang baik. Sudah ada tradisi, cara yang baik yang diamalkan dalam parti. "Pada hemat saya itulah cara yang terbaik dan kaedah yang baik untuk kita melakukan perubahan kepada kepimpinan negara seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dan presiden parti," katanya. Menurut beliau, peluang perlu diberi agar peralihan kuasa berjalan dengan cara yang terhormat memandangkan segala keputusan dalam jangka masa terdekat akan memberi kesan kepada Umno. "Kalau kita lakukan sesuatu pada masa ini, sudahlah Umno dan BN dalam keadaan yang selepas pilihan raya umum tidak sekuat dulu, dan kita memerlukan masa memulihkan kekuatan Umno," katanya.
Perbalahan dan pergeseran juga, katanya, pasti akan berlaku sekaligus membentuk dua atau tiga puak dalam parti yang akan melemahkan Umno dan BN secara langsung. "Kita tidak mampu melihat keadaan ini berlaku dalam parti dan boleh menyebabkan masalah yang besar kepada kerajaan dan negara," katanya. Najib yang juga Timbalan Presiden Umno turut menyangkal dakwaan kononnya Umno dilanda keretakan. "Saya tidak kata ada perpecahan, tapi jika ada krisis kepimpinan, ia akan berlaku seperti pada tahun 1987, dan seperti krisis (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. "Persoalannya apakah BN dan Umno mampu melalui senario seumpama itu lagi?" katanya. Menyentuh perkara lain, Najib berkata beliau menunggu tindakan yang akan diambil oleh Parti Gerakan ekoran keputusan bekas timbalan setiausaha agung parti itu, Datuk Lee Kah Choon, menerima tawaran kerajaan negeri Pulau Pinang untuk berkhidmat sebagai pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Bagaimanapun, menurut Najib, tindakan Lee bertentangan dengan prinsip yang diamalkan kerajaan selama ini. "Saya nak tengok apa pendirian Parti Gerakan dalam hal ini kerana daripada segi prinsipnya, kita tidak menggalakkan atau sepatutnya berkhidmat dalam kerajaan pembangkang," katanya. BERNAMA