Tuesday, April 01, 2008

:: Hindraf... KDN tidak berganjak


Mutakhir

KDN tidak berganjak keputusan tahanan Hindraf
31-03-2008 02:40:18 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berganjak daripada keputusan mengekalkan penahanan lima pemimpin pertubuhan haram Hindraf mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) walaupun Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu mendesak supaya mereka dibebaskan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata Samy Vellu berhak menyuarakan apa yang diperjuangkan oleh MIC, namun tindakan terhadap golongan itu adalah berdasarkan proses yang diiktiraf undang-undang. "Tugas saya ialah menentukan apa juga isu yang dibuat, bukan satu keputusan berasaskan keputusan saya, tetapi berasaskan proses-proses yang diiktiraf undang-undang dalam menentukan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman di sini, Isnin. Ini lawatan pertamanya ke situ sejak dilantik menerajui kementerian itu pada 18 Mac lepas.Ahad lalu, Samy Vellu berkata beliau akan bertemu Syed Hamid Albar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi bagi meminta kerajaan membebaskan pemimpin-pemimpin Hindraf itu. Ditanya adakah wajar Samy Vellu menyuarakan perkara tersebut, Syed Hamid beliau berkata sebagai ahli politik, Presiden MIC itu berhak untuk menyuarakan perkara itu. "Tapi kita mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik," katanya. BERNAMA