Wednesday, April 30, 2008

:: BN: Jangan bergaduh


Mutakhir

PM arah tindakan terhadap pemimpin BN bergaduh sesama sendiri
30-04-2008 12:10:04 AM
Oleh SA'ODAH ELIAS

KUALA LUMPUR: Berhenti bertelagah secara terbuka, itulah arahan terbaru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada pemimpin Barisan Nasional di semua peringkat, termasuk pemimpin peringkat akar umbi.

Pengerusi Barisan Nasional itu mengingatkan, mana-mana pemimpin yang gagal mematuhi arahan terbaru itu akan dihadapkan ke muka jawatankuasa disiplin BN. Arahan ini, tegas Abdullah, bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara bagi pemimpin-pemimpin terlibat, tetapi bagi memastikan kekukuhan dan perpaduan BN tidak tergugat. Katanya surat pekeliling mengenai perkara itu akan diedarkan oleh ibupejabat BN tidak lama lagi. "Ini arahan, bukan nasihat. Kalau terus berlaku kita akan ambil tindakan terhadap mereka," tegasnya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tertinggi BN Selasa malam.

Abdullah yang juga Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas episod pertelagahan terbaru melibatkan bekas menteri besar Selangor dan ahli majlis tertinggi Umno Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dengan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu melibatkan isu perobohan kuil di Padang Jawa akhir tahun lalu.

Pertelagahan secara terbuka melibatkan kedua-dua pemimpin itu yang saling tuduh menuduh antara satu sama lain melalui media kini menarik perhatian umum. Ditanya tidakkah nanti tindakan menghalang pemimpin BN daripada membuat kritikan sesama sendiri secara terbuka itu akan dilihat sebagai satu usaha menutup mulut mereka daripada menyuarakan pendirian masing-masing Abdullah berkata: "Dalam parti ada disiplin. Mana ada parti yang tidak ada disiplin. Jika parti tidak ada disiplin susahlah. Bila kita sudah keluarkan arahan, ia mesti dipatuhi."

Mengenai isu "lompat parti", Abdullah berkata, pemimpin-pemimpin BN termasuk dari Sabah dan Sarawak telah menyatakan bahawa semua wakil rakyat BN yang menang pada pilihanraya lalu akan terus setia. Katanya, mereka telah memberikan jaminan bahawa tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan ada wakil rakyat daripada BN yang akan melompat menyertai parti pembangkang.

Dalam pada itu, katanya, semua pemimpin parti-parti komponen akan terus memantau wakil-wakil rakyat daripada parti masing-masing bagi memastikan perkara itu tidak berlaku pada masa hadapan. Katanya, dakwaan pihak pembangkang baru-baru ini bahawa mereka telah berjaya menarik ahli Parlimen BN yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan pusat tidak lama lagi hanya satu dakwaan tidak berasas. Gabungan parti-parti pembangkang perlu menarik sekurang-kurang 30 ahli Parlimen BN bagi membolehkannya menubuhkan kerajaan pusat secara majoriti mudah.

Abdullah juga mengumumkan bahawa BN akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan realiti politik baru di negara ini di samping mengenalpasti pendekatan baru dan pengubahsuaian yang perlu diambil bagi memastikan ia kekal relevan. Mesyuarat akan datang dewan tertinggi BN akan diadakan dalam tempoh enam minggu.