Monday, April 21, 2008

:: PLKN: cuti 6 hari


NASIONAL
Pelatih PLKN dibenar cuti enam hari

BANTING: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) membenarkan 31,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 2 Siri 5/2008 yang menjalani latihan di 82 kem di seluruh negara bercuti rehat selama enam hari, mulai 8 Mei ini. Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata cuti itu diberikan atas dasar kebajikan bertujuan membolehkan pelatih berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Bagaimanapun, katanya, kos pengangkutan pulang ke kampung dan kembali ke kem perlu ditanggung sepenuhnya keluarga pelatih.
"Sejak memulakan latihan pada 18 Mac lalu, mereka belum diberi cuti dan kami ingin memberi peluang kepada mereka untuk berehat secukupnya sebelum memulakan latihan seterusnya. "Saya berharap pelatih menggunakan cuti ini sebaik mungkin bagi berehat dan bertemu keluarga selepas lama tidak bersua," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sukan Air Zon C di Kem PLKN Jugra di sini, semalam. Hadir sama Pengurus Kem PLKN Jugra, Datuk Seri Dr Shafie Salleh.
Seramai 2,460 pelatih dari kem seluruh negara mengambil bahagian dalam pertandingan selama tiga hari bermula semalam itu dengan juara Zon C akan ke peringkat seterusnya pada 23 April sebelum pemenang layak ke peringkat kebangsaan di Tasik Putrajaya pada 4 Mei ini. Abdul Hadi berkata, ibu bapa atau wakil keluarga pelatih boleh datang mengambil pelatih bermula jam 8 pagi pada 8 Mei.