Thursday, July 07, 2011

:: Empangan Bakun... mula beroperasi hari ini ?



Ujian Kebolehpercayaan Empangan Bakun hari ini

Posted on July 6, 2011, Wednesday

Pemantauan akan dilakukan berhati-hati bagi mengelak sebarang kesilapan: Zulkiflie

PANDANGAN UDARA: Ujian pertama Empangan Bakun bermula hari ini sebelum operasi sebenar untuk langkah komersialisasi pada 6 Ogos depan.

KUCHING: ‘Ujian kebolehupayaan’ Empangan Hidro Elektrik Bakun (Empangan Bakun) akan diadakan hari ini (6 Julai) sebelum tenaga elektrik empangan itu dikormersial pada 6 Ogos ini, kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Hidro Sdn Bhd, Zulkiflie Osman.

Beliau menambah ‘ujian kebolehupayaan’ adalah fasa terakhir pelbagai ujian percubaan sebelum langkah komersialisasi dapat dilaksanakan dalam tempoh sebulan lagi.

“Jika semuanya berjalan dengan lancar, kita boleh menjangkakan tenaga dari Empangan Bakun akan dipindahkan ke sistem grid SESCo selepas ‘ujian kebolehupayaan’ ini dilaksanakan, iaitu 6 Ogos nanti,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Infrastruktur Asia yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.

Zulkiflie menambah, beliau bersama 20 pakar tempatan dan enam dari negeri luar kini sedang memantau keadaan di empangan berkenaan sebelum turbin pertama dijangka menjana tenaga awal bulan depan.

“Semuanya perlu dilakukan dan dipantau dengan penuh berhati-hati kerana sebarang kesilapan boleh menyebabkan halangan besar yang mesti dielakkan daripada berlaku,” tegasnya tanpa menjelaskan lanjut ‘halangan besar’ itu.

Tenaga yang dihasilkan daripada Empangan Bakun itu kelak akan disalurkan ke projek-projek jimat tenaga di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Salah satu projek gergasi yang akan dilaksanakan di SCORE ialah industri melebur aluminium, pulpa dan kertas serta pengeluaran kepingan gelas.

Zulkifle, menambah Empangan Bakun mempunyai lapan turbin bersaiz besar dan mampu mengeluarkan 2,400 megawatt (MW) sebaik ia beroperasi sepenuhnya tahun depan.

Sementara itu, Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika menyampaikan ucapan penggulungnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berkata kerajaan negeri menerusi SEB berjaya mendapat hak pemilikan ke atas Empangan Bakun daripada kerajaan pusat menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 30 tahun pada 1 Jun 2011.

Menerusi PPA itu ujarnya SEB menjual tenaga elektrik dari Empangan Bakun pada 6.25 sen per kilowatt dengan peningkatan tahunan sebanyak 1.5 peratus.

Taib yang juga Menteri Pengurusan dan Perancangan Sumber berkata Empangan Bakun yang bernilai RM7.2 bilion adalah langkah penting dalam pembangunan SCORE.


http://www.theborneopost.com/2011/07/06/ujian-kebolehupayaan-empangan-bakun-hari-ini/