Saturday, July 09, 2011

:: IMIGRESEN : Kisah 2 orang pegawai di Miri...kes RM1juta lesap?




Malaysia; Miri Sarawak; Yu Lan Plaza

2 pegawai imigresen ditahan kes RM1j lesap


2011/07/09

MIRI: Dua kakitangan di pejabat Jabatan Imigresen Miri, di sini ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang berjumlah RM1 juta daripada akaun jabatan itu. Mereka ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di pejabat Jabatan Imigresen di Bangunan Yu Lan Plaza, di sini, kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Ketua JSJK Sarawak, Superintendan Mohd Firdaus Abdullah, berkata penahanan kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an itu dibuat selepas siasatan awal pihaknya mendapati terdapat unsur penyelewengan dalaman berlaku.

Pengurusan Jabatan Imigresen Miri membuat laporan polis selepas menyedari kehilangan wang itu ketika audit dalaman dijalankan minggu lalu.

Mohd Firdaus berkata, penyelewengan wang hasil kutipan harian bahagian pasport dan visa pelanggan dari akaun jabatan itu dipercayai berlaku antara Mei hingga Jun lalu. "Berdasarkan laporan audit dalaman, bahagian akaun Jabatan Imigresen didapati gagal memasukkan kutipan bagi tempoh dua bulan itu berjumlah lebih RM1 juta ke dalam akaun perbendaharaan negara,” katanya pada sidang media di sini, semalam.