Tuesday, July 05, 2011

:: BERSIH : Tangkapan pertama di Sarawak...






Polis buat tangkapan pertama

by Sudan Ajang dan Watt Zacchaeus. Posted on July 5, 2011, Tuesday

Exco AMK ditahan di LTM kerana memakai baju-T promosi perhimpunan haram

DITAHAN: Anggota Exco AMK, Zulhaidah (kiri) diiringi oleh sepasukan polis semasa keluar dari Lapangan Terbang Miri untuk ditahan di Balai Polis Pusat Miri.

MIRI: Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Keadilan Rakyat, Zulhaidah Suboh ditahan di Lapangan Terbang Miri petang semalam kerana memakai baju-T berwarna kuning dengan tulisan BERSIH yang disifatkan sebagai mempromosikan perhimpunan haram 9 Julai ini, sekali gus menjadikannya tangkapan pertama di Sarawak.

Zulhaidah yang tiba di Lapangan Terbang Miri sekitar jam 1.40 petang semalam, ditahan dan disoal siasat sebelum dibawa ke Balai Polis Pusat Miri pada jam 3.15 petang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Ling Sie Kiong yang bertindak sebagai peguam beliau turut mengesahkan mengenai penahanan Zulhaidah, ketika ditemui di Balai Polis Pusat Miri di sini petang semalam,

Menurut Ling, Zulhaidah akan dihadap ke Mahkamah Majistret jam 8.30 pagi ini untuk ditahan reman.

Katanya, sebelum itu anak guamnya itu telah didatangi sepasukan polis semasa hendak berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), bagaimanapun dia tidak ditahan kerana mempertimbangkan waktu penerbangan beliau (Zulhaidah) dan hanya ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri.

Sementara itu di SIBU, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail memberitahu perhimpunan BERSIH 2.0 dijangka akan diadakan di empat bandar utama di negeri ini pada 9 Julai ini iaitu di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Kami ada menerima maklumat bahawa perhimpunan terbabit akan diadakan di Sibu, Bintulu, Kuching dan Miri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan terbabit kerana pihaknya boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang menyertai perhimpunan terbabit.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang menyertai perhimpunan terbabit. Oleh itu, jangan me-nyusahkan diri untuk menyertai perhimpunan haram terbabit yang tidak mempunyai permit sah untuk mengadakan aktiviti sedemikian,” tegasnya.

Bagi mengelak diri terjerumus dengan perhimpunan terbabit, Shafie menasihati orang ramai agar jangan se-sekali memakai baju berwarna kuning pada 9 Julai ini.

Bagaimanapun menurut-nya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau kegiatan orang ramai terutama di empat bahagian tersebut pada tarikh 9 Julai ini bagi mengelak sebarang perhimpunan diadakan.

Sementara itu, katanya beliau akan mengadakan sesi bertemu rakyat di bahagian ini di Balai Polis Sentral (CPS) di sini pada 7 Julai ini bagi menerima sebarang aduan daripada orang ramai.

“Saya akan berada di CPS seawal jam 7 pagi hingga 12 tengah hari bagi mengadakan sesi bertemu dengan rakyat pada tarikh tersebut. Sebarang aduan dan masalah boleh diajukan kepada saya. Semua dialu-alukan untuk menyertai sesi ini,” tambah beliau.


http://www.theborneopost.com/2011/07/05/polis-buat-tangkapan-pertama/