Saturday, July 30, 2011

:: SURAT : Guru dan perguruan dipersoalkan...




Guru mesti ikhlas, henti merungut


2011/07/30

SEJAK akhir-akhir ini pembaca sering didedahkan dengan pelbagai isu mengenai ketidakpuasan hati golongan guru di Malaysia terutama selepas pengumuman Perdana Menteri mengenai kenaikan pangkat Pengetua dan Guru Penolong Kanan.

Isu pangkat, tempoh berkhidmat, perpindahan, penempatan, guru terpinggir, guru dilupakan dan banyak lagi diutara melalui media.

Saya berpendapat seharusnya golongan ini lebih ikhlas dalam menjalankan tugas harian. Berbeza dengan pendidik masa dulu, isu naik pangkat atau gred amat jarang didengar. Mungkin ada, tetapi disalurkan melalui saluran betul.

Maaf jika dikatakan corak pemikiran pendidik kini mungkin berubah. Ada yang ‘berkelahi’ secara terbuka dalam media mengenai ketidakpuasan sesama mereka.

Oleh itu pendidik sekalian, mari kita muhasabah diri. Jangan terlalu mengikut emosi sehingga menyinggung perasan orang lain. Sedarlah terlalu besar amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kalian untuk mendidik anak bangsa sendiri.

Jika hendak dikirakan beban tugas, mari kita renungkan rakan kita yang bertugas sebagai polis. Kerja siang, malam; tidak balik rumah, tinggalkan anak isteri dan macam-macam lagi sehingga menggadaikan nyawa. Tetapi mereka tidak pernah merungut di akhbar. Ada anggota polis hanya berbuka puasa sambil bertugas di tepi jalan.

Mungkin sukar pada zaman ini untuk mencari di mana pendidik setaraf Ghafar Baba dan Pendeta Zaaba. Guru yang ada sekarang mungkin hanya guru yang tidak pernah bercita-cita menjadi pendidik tetapi kerana sudah tiada kerja lain maka terpaksalah jadi guru.

FAISAL MOHAMAD,
Putrajaya.