Saturday, July 30, 2011

:: Keciciran di kelas prasekolah kerana kem pembalakan...?




Anak-anak tercicir prasekolah kerana ikut ibu bapa ke kem pembalakan

Posted on July 29, 2011, Friday

KUCHING: Mungkin disebabkan isteri (ibu) mengikut suami (yang bekerja) ke kem pembalakan, telah menjadikan ia satu faktor anak-anak di kawasan pedalaman seperti Sebauh, Belaga dan Lubok Antu tidak mengikuti pendidikan prasekolah meskipun kemudahan tersebut sudah tersedia di rumah-rumah panjang.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah ekoran analisis data status murid tahun satu bagi tahun 2011 yang tidak pernah mengikuti pendidikan prasekolah yang merekodkan peratusan tertinggi di kawasan berkenaan jika dibandingkan dengan bahagian lain negeri ini.

“Sebelum kerajaan mendirikan prasekolah di rumah-rumah panjang ini, ia telah dipersetujui dan disokong oleh penduduk bahawa akan menghantar anak masing-masing tetapi apabila siap, perkara ini berubah.

“Tetapi, kita tidak boleh menghalang…ini dilema, sebab ada yang mengatakan kalau menjaga anak di rumah panjang, siapa pula yang menjaga suami di kem pembalakan,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya Dekat sini selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS).

Analisis data status murid tahun satu bagi tahun 2010 yang tidak pernah mengikuti pendidikan prasekolah merekodkan Sebauh mencatatkan sebanyak 21.69 peratus dan Baram sebanyak 25.66 peratus, manakala tahun 2011 ialah Lubok Antu sebanyak 23.54 peratus, Sebauh sebanyak 27.59 peratus dan masih merupakan peratusan tertinggi.

Analisis data status murid tahun satu yang pernah mengikuti prasekolah pada tahun 2010 bagi Sebauh ialah 78.31 peratus, Baram sebanyak 74.34 peratus, manakala tahun 2011 bagi Lubok Antu ialah 76.46 peratus, Sebauh sebanyak 72.41 peratus, iaitu kadar peratusan terendah.

Statistik tahun 2011 bagi jumlah pendaftaran tahun satu di Sarawak merekodkan seramai 42,138 orang dengan seramai 40, 083 (95.12 peratus) adalah kanak-kanak yang pernah mengikuti prasekolah dan 2,055 (4.88 peratus) adalah yang tidak pernah mengikuti prasekolah.


http://www.theborneopost.com/2011/07/29/anak-anak-tercicir-prasekolah-kerana-ikut-ibu-bapa-ke-kem-pembalakan/