KUALA TERENGGANU – Kisah kontroversi yang menyelubungi seorang lelaki, Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz selepas permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana ditolak Mahkamah Tinggi di sini dua minggu lalu berakhir apabila dia menghembuskan nafas terakhir pagi semalam.
Lelaki berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 4.55 pagi, iaitu hanya sehari selepas mendapatkan rawatan.
Bapa mangsa, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika mengesahkan kematian Ashraf menjelaskan, anaknya itu dimasukkan ke HSNZ pukul 3 pagi kelmarin selepas mengalami muntah yang teruk.
Jelasnya, pihak keluarga juga akur dengan keputusan mahkamah dan telah bersetuju untuk menguruskan serta mengebumikan jasad arwah sebagai Ashraf dan bukannya Aleesya Farhana.
“Semua keluarga terdekat berada di sisi arwah pada saat-saat terakhirnya. Pemergian Ashraf merupakan satu kehilangan besar buat keluarga,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HSNZ di sini semalam.
...................................................................................
KUALA TERENGGANU: “Sejak kebelakangan ini arwah sering menyebut perkataan ‘tak sempat.’ Namun apabila saya bertanya apa yang tak sempat, arwah tidak menjawab.
“Melihat arwah enggan menjelaskan maksud di sebalik kata-kata itu, saya tidak bertanya lanjut kerana tidak mahu menambah tekanannya,” kata ibu kepada Mohd Ashraf Hafiz Abd Aziz, 26, yang permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana ditolak Mahkamah Tinggi, di sini, 18 Julai lalu.
Menurut wanita berusia 50 tahun itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mak Yah, arwah sebelum ini menyebut dia tidak sempat menyambut hari raya walaupun sudah menyiapkan sepasang baju kurung Pahang berwarna merah hati.“Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa kerana arwah dalam keadaan sihat.
“Malah, dua minggu sebelum ini arwah turut meminta sepupunya menjahit segera baju rayanya. Akur dengan permintaan arwah, sepupu arwah menyiapkan baju berkenaan dalam masa satu hari saja.“Sebaik siap, baju kurung itu digantung di dalam biliknya, cuma niat arwah untuk menjahit labuci pada baju itu tidak kesampaian.“Sebagai ibu, kehilangan arwah sangat dirasai dan dirindui kami sekeluarga. Arwah bukan saja anak yang baik tetapi rapat dengan ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.
Sementara itu, bapa Mohd Ashraf Hafiz, Abdul Aziz Ahmad, 60, berkata arwah bertanya mengenai adik-beradiknya ketika dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU) HSNZ petang semalam (kelmarin) sebelum dia menghubungi anaknya, termasuk abang dan kakak arwah di Kuala Lumpur dan Kedah.“Ketika di hospital, arwah tidak banyak bercakap tetapi sempat bertanya mengenai adik-beradiknya sebelum meminta dibiuskan berikutan sukar bernafas.