Sunday, July 03, 2011

:: Bandar Samarahan... 20 tahun lagi...?



Samarahan menuju ke arah pembentukan sebuah bandar...

Posted on July 2, 2011, Saturday

KOTA SAMARAHAN: Bahagian Samarahan kini menuju ke arah pembentukan sebuah bandar selepas mengalami pertumbuhan pesat sejak diisytiharkan sebagai bahagian pada 1986.

Menurut Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, bandar seterusnya dalam senarai adalah Samarahan.

“Kita sudah melangkah jauh dan dalam tempoh 20 tahun lagi, Samarahan akan menjadi tempat yang akan dilihat orang atau yang akan berlaku perkembangan kerana Kuching tidak dapat lagi diperluaskan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat induk sempena sambutan Jubli Perak Bahagian Samarahan 2011 di sini semalam.

Tambahnya, kawasan perumahan akan bertambah di luar Kuching iaitu dalam bahagian Samarahan sekali gus menyumbang kepada pertambahan jumlah penduduk di situ.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa satu perancangan sedang dibuat untuk membina jalan dua lorong di semua kawasan dari Batu 15.

“Kami ada rancangan untuk membina jalan dua lorong dan bila pelan siap nanti, ia dianggarkan menelan belanja RM50 juta.

“Kami berharap untuk menyiapkannya secepat mungkin. Bila sudah ada dana, JKR akan melaksanakannya.

“Dengan itu, semakin ramai orang akan membina rumah di sekitar kawasan ini (bahagian Samarahan),” katanya.

Sempena ulang tahun ke-25 penubuhan bahagian Samarahan, pelbagai aktiviti dianjurkan yang bermula pada Jun lalu sehingga pada September.

Antara aktiviti yang diadakan seperti Pesta Sebuyau (24-25 Jun), Liga Sukan DUN Bahagian Samarahan (25-26 Jun), Pesta Daerah Samarahan (2-10 Julai), Pertandingan Futsal 1Belia 1Malaysia (9-17 Julai), Pesta Simunjan (17-18 Julai), Pertandingan Sepak Takraw (15-17 Julai), Karnival JKKK Daerah Asajaya (23-24 Julai), Pesta Serian (30 Julai), Program Bulan Ramadan (sepanjang bulan Ogos) dan Pesta Air Asajaya (24-25 September).

Majlis pembukaan iaitu majlis kesyukuran sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhan bahagian Samarahan akan diadakan di Masjid Al-Mutaqqin Samarahan yang dijangka dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Sementara itu Residen Samarahan Rodziah Morshidi berkata, sambutan Jubli Perak itu diadakan untuk memperingati 25 tahun penubuhan bahagian Samarahan sebagai bahagian kelapan di Sarawak.

“Sambutan ini adalah sebagai kenangan sejarah penubuhan bahagian Samarahan dan memperingati jasa orang terdahulu membantu membangunkan bahagian Samarahan sebagai bandar pesat membangun sehingga digelar sebagai ‘Kota Ilmu’,” katanya.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim penduduk di bahagian Samarahan serta memberi ruang kepada penduduk setempat melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan.

Hadir sama ADUN Simunjan Mohd Naroden Majais, ADUN Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Muara Tuang Dato Sri Mohamad Ali Mahmud, ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, ADUN Sebuyau Julaihi Narawi dan pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

http://www.theborneopost.com/2011/07/02/samarahan-menuju-ke-arah-pembentukan-sebuah-bandar/