Inspira lebih murah
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/11/11
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mencuba Inspira sambil diperhatikan Penasihat PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh selepas majlis pelancaran rasmi model Inspira di Pusat Kecemerlangan PROTON, di Shah Alam, semalam.
Penurunan harga pastikan kereta nasional lebih berdaya saing,
mampu dimiliki
SHAH ALAM: PROTON Holdings Bhd (PROTON) menurunkan harga kereta Inspira sehingga RM2,000 seunit bagi menjadikan model terbaru keluaran syarikat kereta nasional itu lebih berdaya saing dan mampu dimiliki pelbagai golongan rakyat Malaysia. Berikutan itu, harga terbaru Inspira 1.8 liter transmisi manual lima kelajuan ditawar pada harga RM78,999 seunit, berbanding RM79,888 yang diumum ketika prapelancaran model itu pada 14 Oktober lalu.
Inspira 1.8 liter transmisi CVT pula dijual RM84,999, berbanding RM87,000 sebelum ini, manakala versi 2.0 liter transmisi CVT ditawarkan pada harga RM91,999 daripada RM94,000 seunit sebelumnya.
Pengarah Urusan PROTON, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata keputusan itu dibuat susulan keupayaan penjimatan kos yang diperoleh PROTON dalam mengeluarkan model itu di kilangnya di Shah Alam.
“Langkah itu juga selaras hasrat kerajaan meningkatkan lagi perbelanjaan domestik di kalangan pengguna dalam negara. PROTON sentiasa mahu menghasilkan kereta yang boleh memberikan tahap kualiti terbaik dan pada masa sama, mampu dimiliki setiap golongan masyarakat.
“Penurunan harga Inspira adalah mesej jelas mengenai tekad PROTON bagi menjayakan hasrat itu,” katanya selepas majlis pelancaran rasmi PROTON Inspira di Pusat Kecemerlangan PROTON, di sini semalam.
Ia disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Hadir sama, Penasihat PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.
Syed Zainal berkata, Inspira kini boleh didapati di pusat jualan Proton Edar di seluruh negara, akan ditingkatkan kandungan komponen tempatan kepada 60 peratus menjelang akhir tahun depan berbanding 40 peratus sekarang.
“Komponen keluaran vendor PROTON itu juga akan dibeli semula oleh Mitsubishi Motor Corporation (MMC) untuk digunakan dalam modelnya. Ini bermakna, komponen kenderaan keluaran tempatan itu diakui MMC dari segi kualitinya dan akan mula dieksport ke Thailand dan beberapa kemudahan MMC lain tahun depan,” katanya.
Selain mengeksport komponen Inspira, PROTON akan memuktamadkan rundingan dengan MMC bagi mengeksport Inspira ke pasaran antarabangsa. Selain jaminan tiga tahun atau 100,000 kilometer (km) pertama untuk model berkenaan, PROTON menawarkan servis percuma dua tahun kepada pembeli yang membuat tempahan hingga 15 November ini.