Tuesday, November 16, 2010

:: Pilihanraya Sarawak...awal 2011 ?



Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Biar Ketua Menteri tentukan, kata Daud


Biar Ketua Menteri tentukan, kata Daud

by Adib Othman. Posted on November 14, 2010, Sunday

Terpulang kepada KM untuk calonkannya atau tidak dalam pilihan raya akan datang



KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman berkata terpulang kepada Ketua Menteri sama ada mencalonkannya atau tidak dalam pilihan raya negeri akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding untuk kerusi Tupong memandangkan kesihatannya yang tidak begitu baik sekarang.

“Apa yang berlaku enam minggu yang lepas, saya diserang strok ‘minor’ dan saya dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama enam minggu sehingga 16 hari bulan pada bulan ini,” kata Daud.

Namun demikian, beliau berkata bagi dirinya, beliau yakin untuk dapat bertanding kerana dari segi fizikal, beliau kini sudah pulih.

“Dari segi fizikal, saya sudah pulih tetapi menurut doktor, dari segi mental, saya perlu berehat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Ulang Tahun Ke-25 Tadika Zasa semalam.

Menurutnya beliau yakin akan sembuh sepenuhnya menjelang pilihan raya yang dikatakan akan berlangsung pada tahun depan.


.............................................................................................





Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Wan Junaidi yakin tiga ADUN di kawasannya akan dicalon


Wan Junaidi yakin tiga ADUN di kawasannya akan dicalon

Posted on November 15, 2010, Monday

KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pencalonan ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasannya mungkin dikekalkan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa keputusan berkaitan adalah bergantung kepada pucuk pimpian parti, iaitu Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Saya bukan mendahulukan yang belum terjadi, tetapi saya cukup yakin kita mampu menang di ketiga-tiga kawasan.

“Namun demikian, ini terpulang kepada pucuk pimpinan parti… mungkin pucuk pimpinan parti melihat dari alternatif lain dan sebagainya,” katanya.

Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditemui semasa merasmikan Majlis Sukaneka anjuran Wanita PBB dan Wanita PPWS di Kampung Sejingkat, dekat sini semalam.

Tiga ADUN di Parlimen Santubong ialah Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem (Tanjung Datu), Dr Abdul Rahman Junaidi (Pantai Damai) dan Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen (Demak Laut).

Sehubungan itu, Wan Junaidi berkata Adenan, Dr Rahman dan Dr Rauf juga telah menunjukkan prestasi yang amat baik dalam berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Saya melihat dari segi prestasi dan semua ADUN saya mempunyai prestasi yang amat tinggi.

“Saya kenal peribadi mereka ini dan melihat macam mana mereka berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.


................................................................................................


Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Tiada ahli PBB yang mengkhianati parti, kata Wan Junaidi


Tiada ahli PBB yang mengkhianati parti, kata Wan Junaidi

Posted on November 13, 2010, Saturday

KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tidak wujud ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengkhianati parti tersebut.

Menurutnya, setakat ini tiada seorang pun daripada ahli parti bertindak ‘menikam’ parti itu walaupun mereka ini tidak dicalonkan sebagai pemimpin.

“Saya telah 30 tahun lebih berkecimpung dalam parti ini dan selama itu saya tidak pernah lagi tengok ahli mengkhianati parti,” katanya pada majlis penyerahan bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Buntal di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan berhubung beberapa ahli parti berhasrat menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata cara pengurusan parti itu yang dibawa oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah sangat terperinci dan teratur.

“Pehin Sri memikirkan cara yang panjang dan tidak tergesa-gesa dalam membuat sesuatu tindakan bagi kepentingan parti dan disebabkan itulah tiada kalangan ahli parti yang bertindak untuk mengkhianati parti,” jelasnya.

Justeru, beliau menasihatkan agar mana-mana ahli yang tidak tercalon tidak mudah kecil hati kerana setiap yang dirancang ada kebaikannya untuk parti.

“Kita tidak sepatutnya berkecil hati jika tidak dicalonkan untuk menjadi pemimpim sebaliknya terus memberi sokongan padu kepada pemimpin yang dicalonkan bagi menunjukkan kesetian kita terhadap parti tidak pernah luntur walaupun tidak dicalonkan,” ujarnya.


.................................................................................................


Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Dr Chan: SUPP akan pertimbang penyertaan Larry


Dr Chan: SUPP akan pertimbang penyertaan Larry

Posted on November 7, 2010, Sunday

MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata parti tersebut akan mempertimbangkan penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Larry Sng dalam parti berkenaan.


Katanya, sebarang keputusan adalah berdasarkan sokongan daripada rakyat dan bukan hanya berlandaskan keputusan beliau atau ahli SUPP.

“Kalau saya terima dia (Larry), itu tidak bermakna rakyat akan turut menerimanya… saya mahu masyarakat menerimanya dengan sebulat suara,” katanya kepada media semalam.

Jelas beliau lagi, SUPP bukanlah sebuah parti yang eksklusif sehingga menghalang mana-mana pihak untuk menyertainya.

“Parti ini terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai dan membantu serta berkhidmat untuk rakyat setempat,” ujarnya.

Menurut Dr Chan, menjadi pemimpin kepada rakyat bukan suatu perkara yang mudah kerana dalam dunia politik, ia memerlukan pengorbanan dan keikhlasan berkhidmat untuk rakyat.

“Menjadi seorang wakil rakyat bukan perkara yang mudah kerana kita memerlukan sokongan penuh daripada rakyat dan bukan hanya bergantung kepada sesetengah pihak,” tambah beliau.

Dr Chan berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud yang mahu masyarakat Cina di negeri ini mengemukakan calon pemimpin yang berkebolehan dan mempunyai potensi untuk mewakili mereka dalam pilihan raya negeri akan datang.

Menurut Taib, walaupun mereka (calon) bukan anggota mana-mana parti, selagi me-reka menyokong kerajaan dan mempunyai sesuatu untuk disumbangkan, mereka layak menjadi calon untuk mengukuhkan Barisan Nasional (BN).


..................................................................................


Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Abang Johari gambarkan Wan Wahab sebagai pemimpin berjiwa rakyat


Abang Johari gambarkan Wan Wahab sebagai pemimpin berjiwa rakyat

Posted on November 7, 2010, Sunday

KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menggambarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Wan Wahab Wan Sanusi sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

Menurut Abang Johari, pihaknya telah menerima kata putus Wan Wahab untuk berundur daripada mempertahankan kerusi Sadong Jaya dalam pilihan raya akan datang.

“Memang dia telah berhasrat untuk mengundur diri dan kami telah dimaklumkan oleh Datuk Wan Wahab.

“Saya rasa Datuk Wan Wahab adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat dan berkhidmat dengan begitu baik dari tahun 1983 sehingga sekarang.

“Beliau telah melalui beberapa krisis di mana beliau telah banyak memberi sumbangan yang begitu baik kepada kejayaan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Masjid Darul Ibadah di Kampung Kudei semalam.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan masjid tersebut, beliau mengingatkan generasi muda supaya tidak mengambil keputusan untuk memilih perubahan (kerajaan) demi untuk mencuba sesuatu yang baru.


................................................................................................