Sunday, November 07, 2010

:: Teksi air di Sungai Sarawak ?


Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Perkhidmatan teksi air Sungai Sarawak dimulakan sebulan lag


Perkhidmatan teksi air Sungai Sarawak dimulakan sebulan lagi



Posted on November 6, 2010, Saturday

KUCHING: Perkhidmatan teksi air di Sungai Sarawak akan dimulakan dalam tempoh sebulan lagi kata Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.


TEKSI AIR: Abang Johari menepung tawar teksi air semalam. Turut kelihatan adalah Fadillah (tiga kiri) dan Abdul Rahman (dua kiri).


Katanya, setakat ini perkara ini sedang diteliti oleh Pihak Marin dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak sebelum lesen dapat dikeluarkan untuk memulakan operasi.

“Dalam masa sebulan ini (perkhidmatan teksi air) akan beroperasi dan ia mampu memuatkan sepuluh orang penumpang.

“Namun demikian, setakat ini tambang untuk teksi air belum ditentukan lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Satok 2010 dekat sini, semalam.

Menurutnya, laluan teksi tersebut adalah dari Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK) hingga ke Kubah Ria Baru.

“Kita telah meluluskan RM4 juta untuk kita membina jeti di BCCK… kita sudah ada peruntukan,” sambil menambah bahawa jeti tersebut sedang dalam pembinaan.

Beliau turut berkata, operasi teksi air tidak akan menjejaskan kegiatan perahu tambang kerana teksi air beroperasi untuk membawa penumpang ke destinasi yang lebih jauh.

Selain itu, Abang Johari turut berkata bahawa sebuah restoran terapung di atas kapal akan turut diwujudkan dan setakat ini kapal tersebut sudah ditempah dari Kampung Beladin.

Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya berkata kerajaan akan mengadakan program selama 10 tahun untuk menaik taraf bandar raya Kuching selaras dengan Program Transformasi Ke-rajaan (GTP).

Menurutnya, salah satu fokus GTP adalah menumpukan pembangunan bandar dalam usaha memajukan sektor pelancongan.

“Pelancongan merupakan industri baru yang bersih dan seluruh dunia kini menumpukan kepada industri pelancongan.

“Sebagai contoh negara New Zealand dahulunya adalah negara pertanian tetapi kini berubah ke arah pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Koordinasi Pelancongan Satok Abdul Rahman Adenan dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran Pesta Satok pada tahun ini masuk tahun keempat.

Katanya, tujuan penganjuran Pesta Satok adalah untuk menjadikan Satok sebagai hab ekopelancongan.

Turut hadir pada majlis semalam adalah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Mohd Atei Abang Medaan, isteri Abang Johari iaitu Datin Amar Jumai’ani Tuanku Bujang serta kenamaan-kenamaan lain.