Surat
Syarat naik pangkat LKPPP masih terpakai
2010/11/26
KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk surat pembaca Bakal PhD, Sungai Petani, Kedah, dalam ruangan Surat & Emel akhbar Berita Harian bertarikh 2 November 2010 bertajuk ‘Pelaksanaan kenaikan gred PPPS’.
Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) memutuskan Margin of Preference (MOP) lebih besar diberikan kepada pegawai memiliki kelayakan lebih tinggi termasuk pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dalam urusan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).
Syarat kenaikan pangkat ditetapkan oleh LKPPP masih terpakai. Manakala, kriteria penilaian dipinda bagi semua urusan kenaikan pangkat mengikut laluan cemerlang dengan memasukkan kriteria kelayakan akademik di peringkat PhD dan pengalaman bertugas.
Kriteria penilaian yang dipinda akan digunakan dalam iklan urusan pemangkuan Guru Cemerlang, Pengetua Cemerlang dan Pegawai Cemerlang akan datang.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.
.....................................................................................
Pelaksanaan kenaikan gred PPPS
2010/11/02
KETIKA sambutan Hari Guru 2010 lalu, pihak Kementerian Pelajaran ada mengumumkan kenaikan gred jawatan untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD).Pengumuman ini disambut dengan perasaan gembira dan ucapan terima kasih oleh ramai PPPS yang memiliki PhD dan ia juga memotivasikan mereka yang belum memiliki PhD untuk menyambung pelajaran ke peringkat ini.
Namun, sejak pengumuman itu hingga kini tidak diketahui apakah perkembangan pemberian ini. Saya ingin sangat mengetahui syaratnya. Justeru, pihak berkenaan perlulah mempercepatkan proses ini.
BAKAL PHD,
Sungai Petani, Kedah
Berita Harian Online: 2 November 2010