Ada dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak yang sudah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’, demi kepatuhan dan keredaan terhadap perintah Allah SWT.
Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasih kepada ibu dan ayahnya serta keseronokan zaman remajanya, malah sanggup mengorbankan nyawa sendiri, semata-mata taat terhadap perintah Allah dan perintah seorang ayah.
Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar.
Menurut Imam al-Ghazali, makrifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta kerana cinta tanpa makrifah tidak mungkin berlaku. Manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya saja. Sebab itulah kita perlu rasional memilih cinta yang sementara supaya ia tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila.
Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia yang lumayan menjerumuskan kita ke lembah sia-sia, tiada apa pun yang menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah.
Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu saja dan kita perlu sentiasa bersedia berkorban apa saja.