Saturday, November 20, 2010

:: OUM-KPM: MQA dah luluskan... JPA belum...





Surat

KPT, MAQ lulus program pendidikan ditawar OUM

2010/11/20

SAYA ingin merujuk surat daripada 'lepasan sarjana muda pengajaran KPM-OUM dari Kuala Lumpur' yang disiarkan dalam ruangan ini bertarikh 18 November lalu.

Untuk makluman, program Sarjana Muda Pengajaran dengan Kepujian yang ditawarkan oleh Open University Malaysia (OUM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran adalah program yang diluluskan penawarannya oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Selain itu, program ini juga mendapat perakuan akreditasi daripada MQA pada Ogos 2010.
Bagaimanapun, pengiktirafan program ini oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bagi guru yang memohon DG41 hanya akan diperoleh apabila ia diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Oleh kerana mesyuarat pengiktirafan JPA hanya diadakan beberapa kali setahun, maka semua program yang mendapat perakuan akreditasi akan dibawa oleh MQA ke mesyuarat ini untuk diiktiraf.

Sukacita dimaklumkan bahawa berdasarkan sumber yang dirujuk dan diperoleh, mesyuarat berkenaan akan diadakan pada hujung November ini tertakluk kepada pindaan oleh pihak JPA.

Diharapkan penjelasan ini dapat menerangkan status Ijazah KPM-OUM seperti yang dikemukakan oleh pengadu dan menjawab kekeliruan yang timbul.
Jika pengadu mempunyai sebarang pertanyaan atau mahukan maklumat lanjut, sila berhubung dengan Bahagian Pendaftar OUM melalui e-mel (kamariah@oum.edu.my).

Segala kerjasama dan sokongan yang diberikan amatlah kami hargai dan sanjung tinggi.

DATIN TEH RAQAMAH ABDULLAH,
Pengarah Unit
Perhubungan Korporat OUM.