KUCHING 17 Nov.- Sarawak akan memiliki hospital umum keduanya yang terletak di Petra Jaya dan dijangka siap menjelang 2014, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, ia akan mengurangkan bilangan pesakit dan kes tinggi yang kini dirujuk ke Hospital Umum Sarawak.
"Hospital Sarikei juga akan dinaik taraf kepada hospital pakar bagi memenuhi keperluan penduduk setempat serta mengurangkan tempoh menunggu bagi sesetengah kes," katanya.
Tiong Lai berkata, sebuah lagi hospital pakar jantung akan beroperasi awal tahun depan di Pusat Perubatan Antarabangsa Sarawak, Kota Samarahan dekat sini.
Beliau berkata, berdasarkan purata jangka hayat rakyat Malaysia telah meningkat dengan lelaki mencapai usia purata 72 tahun dan wanita 76.4, lebih banyak klinik desa perlu dibina untuk memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada mereka.
Katanya, khidmat doktor Malaysia juga adalah setaraf dengan yang terdapat di negara maju. - Bernama