Perang poster belum meletus di Sarawak
Oleh Misiah Taib
KUCHING: Walaupun Sarawak adalah negeri terbesar dengan jumlah kerusi Parlimen terbanyak, iaitu 31 kerusi bakal dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, perang poster dan sepanduk di negeri ini belum bermula. Ketika perang poster dan sepanduk sudah pun bermula di kebanyakan negeri, keadaan di Bumi Kenyalang masih tetap seperti biasa, sukar untuk melihat sepanduk atau poster dipasang bukan saja di tempat awam, malah di ibu pejabat parti politik, yang sekadar ada bendera parti yang dipasang sepanjang masa. Itulah suasana politik di Sarawak ketika hari penamaan calon hanya berbaki tiga hari lagi. Tidak salah kalau dikatakan parti politik di Sarawak 'paling patuh' dalam soal pemasangan bahan kempen, yang sepatutnya bermula selepas hari penamaan calon sehingga ke hari pengundian.
Pemasangan poster dan sepanduk di kawasan pilihan raya di negeri ini selalunya hanya dibuat pada malam menjelang hari penamaan calon atau selepas hari penamaan calon dan jumlahnya juga tidaklah semeriah seperti pemasangan bahan kempen di Semenanjung. Bahkan pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang diadakan berasingan dengan Semenanjung dan Sabah, senario tetap sama. Pengarah Pilihan Raya Negeri, Takun @ Takon Sunggah dan Ketua Polis Sarawak, Deputi Komisioner Mohmad Salleh, nyata berpuas hati dengan kerjasama semua parti politik di Sarawak setakat ini, khususnya dari segi berkempen.
Bukan saja tidak ada kejadian menampal poster dan sepanduk di tempat tidak dibenarkan dilaporkan berlaku setakat ini, malah tiada aduan berkaitan kempen menjelang pilihan raya diterima sehingga semalam. Polis Sarawak juga belum menerima sebarang permohonan untuk mengadakan ceramah politik sehingga semalam dan permohonan dijangka hanya akan dikemukakan oleh parti atau calon yang bertanding selepas hari penamaan calon. Seramai 912,454 pemilih berdaftar di Sarawak akan mengundi pada pilihan raya umum kali ini, termasuk 16,354 pengundi pos. Parlimen Stampin mempunyai jumlah pengundi teramai iaitu 67,257 orang, manakala Parlimen Lawas menyaksikan pengundi paling sedikit iaitu 15,717 orang.