Wednesday, April 20, 2011

:: SURAT : Kecewa dua kali mohon jadi pensyarah ditolak



Surat

Kecewa dua kali mohon jadi pensyarah ditolak


2011/04/20

SAYA guru berkelulusan Sarjana dan sudah lebih enam tahun berkhidmat di Sarawak. Baru-baru ini saya membuat permohonan untuk menjadi pensyarah, tetapi dukacita kerana permohonan itu dua kali ditolak.

Permohonan pertama dihantar kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Samarahan, Kuching. Saya ditemu duga dua kali dan disenaraikan sebagai calon simpanan.

Selepas tamat tempoh menunggu dua bulan seperti dinyatakan dalam surat mereka, saya tidak dihubungi pihak pentadbiran UiTM. Kemudian saya mendapat tahu saya tidak mendapat jawatan sebagai pensyarah atas alasan ia diisi calon dari UiTM Shah Alam.
Persoalan yang timbul kenapa UiTM Shah Alam mengadakan temu duga di sana dan menghantar calonnya ke UiTM kampus Samarahan Kuching sedangkan saya adalah calon sedia ada dan lulus temu duga di sini?

Permohonan kedua ialah di Institut Perguruan kampus Batu Lintang, Kuching yang juga turut gagal atas alasan kekurangan guru.

Jadi, apakah sebenarnya tujuan Kementerian Pelajaran menggalakkan guru menaikkan tahap pendidikan mereka ke peringkat ijazah Sarjana Muda dan Sarjana serta Ijazah Kedoktoran (PhD) sedangkan peluang permohonan jawatan pensyarah tidak dilayan?

Lebih mengecewakan ialah apabila permohonan itu ditolak pada peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) saja. Kenapa permohonan saya itu tidak dihantar dan dirujuk terus kepada Kementerian Pelajaran atau Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya?
Kenapa JPN negeri tidak menyokong dan meluluskan permohonan saya sedangkan permohonan guru berijazah Sarjana di Semenanjung diluluskan?

Sebagai pegawai kerajaan berkhidmat di Sarawak, saya berharap kedua-dua kementerian berkenaan akan mengkaji dan mengambil tindakan sewajarnya agar kami tidak tertindas.

MUHADHIR,
Kuching, Sarawak.