Saturday, April 02, 2011

:: Isu lebihan guru Sains dan Matematik... pihak UPM bersuara..?




Surat

Agihan guru perlu seimbang


2011/04/02

AGAK mengejutkan apabila kita didedahkan dengan berita berlakunya lambakan guru opsyen Matematik dan Sains dalam negara kita. Lambakan ini dilaporkan membabitkan 14,000 orang guru subjek Sains dan 12,000 orang guru Matematik. Akibatnya, mereka dikatakan terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam.

Ia satu pendedahan yang cukup memeranjatkan semua pihak.

Pendedahan ini sekali gus membawa kita kepada beberapa persoalan yang penting yang perlu dijawab pihak yang berkaitan. Antaranya bagaimana isu ini boleh berlaku? Bukankah sepatutnya Kementerian Pelajaran, bersama-sama dengan pihak institusi pengajian perlu berbincang dan memperincikan terlebih dulu jumlah keperluan guru Matematik dan Sains di seluruh negara sebelum membuat pengambilan?
Justeru, bagaimana lambakan ini boleh berlaku apatah lagi ia membabitkan satu jumlah yang sangat besar dan seolah-olah tidak masuk akal. Apa yang lebih menghairankan dan pelik ialah mengikut laporan itu juga, UPSI sudah dimaklumkan mengenai lebihan guru untuk dua subjek berkenaan dan UPSI dikatakan telah meminta pelajar jurusan itu bertukar opsyen antaranya subjek Sejarah atau Kemahiran Hidup.

Bukankah ia satu tindakan merugikan semua pihak yang berkaitan seperti pelajar itu sendiri yang terpaksa menukar opsyen di samping kerugian di pihak tenaga pengajar yang terbabit.

Apa yang nyata di sini ialah jika benar lambakan ini berlaku seperti didedahkan media, pihak kementerian perlu bertindak segera dengan mengambil langkah sewajarnya.

Seperti kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, kementerian perlu memanfaatkan lebihan guru itu untuk memperkasakan subjek Sains dan Matematik kepada pelajar luar bandar dan pedalaman dengan menghantar mereka ke sana. Tambah beliau, subjek Sains dan Matematik penting untuk mencapai sasaran negara maju menjelang 2020.

Dalam hal ini, kita yakin bahawa pendedahan ini sedikit sebanyak boleh melemahkan semangat dan motivasi pelajar yang mengikuti kursus pengajian Matematik dan Sains lebih-lebih lagi apabila mereka diminta menukar kepada opsyen lain.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED,
Universiti Putra Malaysia.