Tuesday, April 05, 2011

:: PS Abdul Taib Mahmud : " Saya tidak akan berhenti sebelum....."







“Saya tidak akan berhenti sebelum kerja siap,” tegas Taib

by Awangku Khaider. Posted on April 5, 2011, Tuesday

BALINGIAN: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti (melepaskan jawatan) sebelum menyiapkan kerja.

Meskipun begitu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian itu mengakui terdapat beberapa rancangan besarnya yang mungkin tidak sempat disiapkan pada masa beliau berundur kelak.

Bagaimanapun, beliau optimis legasi kepimpinan Barisan Nasional (BN) negeri akan meneruskan rancangan-rancangan mega itu untuk kesejahteraan rakyat.

“Saya tidak akan berhenti sebelum kerja siap termasuk menunaikan segala janji kepada rakyat. Saya mempunyai banyak rancangan, namun mungkin tidak sempat menyiapkan semua.

“Pembangunan sebenar untuk kawasan ini belum dapat disaksikan sekarang. Kesan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dapat dilihat dalam lima tahun lagi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan lebih 2,000 khalayak yang menghadiri Program Berambeh Jegem Ketua Menteri di tempat letak kenderaan Pekan Baru Balingian, di sini semalam.

Menurut beliau, pembangunan yang teratur dan berjaya bergerak perlahan, berterusan serta berkemampuan memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Taib mengklasifikasikan pembangunan pesat fizikal Mukah hari ini sebagai di luar jangkaan kerana ia berlaku hanya dalam tempoh lapan tahun selepas berstatus bahagian.

“Setakat ini lebih RM13 bilion modal ditanam di wilayah SCORE. Situasi ini menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menilai semula pelan induk pembangunan bahagian Mukah pada tahun depan.

“Perkembangan positif ini menganjak bersama industri-industri kelas hiliran untuk membolehkan warga tempatan terlibat sama secara langsung,” tambahnya.

Selepas itu, beliau bertolak ke Mukah untuk menghadiri majlis serupa di Dewan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian dan di halaman Masjid Jamek Kampung Penakub Permai.

Hadir sama, isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad, Residen Mukah Saudi Narani serta Ketua Pengarah Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia Mejar Kehormat Md Noor Yusuf.