Monday, September 03, 2007

:: Sembang2

02 September 2007: Siasah - bil. 0062 (m.s. 20):



112 tahun pendeta Za'ba

Oleh: Darma Mohammad




Pada tarikh 16 September 2007 nanti, usia Za'ba genap 112 tahun. Satu abad bagi Bahasa Melayu mengalami gernyut yang hebat, terketar-ketar berdepan dengan taufan di atas darat. Menjelang 112 tahun perjuangan Pendeta Za'ba bangsa Melayu patut menoleh ke belakang sebentar walaupun ada orang kata "jangan pandang belakang".

Bahasa Melayu lahir sejak bangsa Melayu wujud di bumi ini. Pendeta tidak mengira itu. Pendeta bertindak membina bahasa Melayu sekuat tenaga, seluruh urat saraf kerana mahu melihat bangsa Melayu mempunyai bahasa yang maju, teratur, bersistem dan sampai ke dunia luar.

Pendeta telah menulis buku-buku penting untuk ditinggalkan kepada bangsa Melayu, supaya nantinya segala ilmu bahasa itu dapat dikembangkan, dimantapkan, dimanfaatkan dan didaulatkan dengan jayanya.

Pendeta sendiri dapat menyaksikan tatkala Pendeta masih hidup. Malah bahasa Melayu telah dimaktubkan di dalam perlembagaan negara sebagai bahasa rasmi negara. Orang Melayu tidak mahu lagi pandang ke belakang. Orang Melayu hanya mahu pandang ke depan. Benar dihadapan ada laut, ada pulau.

Pendeta sudah lama memandang ke hadapan, sejak zaman kanak-kanak lagi. Begitu jauh zaman depan bangsa Melayu itu; tentang bahasanya, tentang ekonominya, tentang sosialnya, tentang agamanya dan tentang politiknya. Memang Pendeta dapat melihat masa depan bangsa lebih jauh daripada apa yang dilihat oleh sesetengah orang sekarang.

Maka lahirlah deretan buku-buku yang bermutu tinggi baik terjemahan atau karya asli yang tidak dapat dihasilkan oleh sesetengah orang yang hebat mengkritik bahasa Melayu itu. Sekadar menyebut beberapa judul hasil tulisan Pendeta, tatap sahaja Ilmu Mengarang Melayu, Pelita Bahasa Melayu I, II dan III, dan Falsafah Takdir.

Membaca perjalanan hidup Pendeta, semacam berjalan di atas ombak. Mata memandang ufuk tetapi ufuk tidak pernah dapat dikejar. Mengapa dikatakan begitu, sewaktu ulang tahun ke 112 Pendeta, bahawa Melayu semacam terketar-ketar sepertoi orang demam malaria. Tidak diketahui apa nasib bahasa Melayu pada ulang tahun Pendeta ke 150 iaitu pada tahun 2045.

Diharapkan pada bulan Ogos atau September 2045, ada seseorang yang menulis mengenang Pendeta seperti yang dilakukan oleh akhbar ini sekarang!

Memang bahasa Melayu patut berjalan ke hadapan seperti bangsa Melayu patut berjalan ke hadapan. Adalah canggung, bangsa Melayu berjalan ke hadapan, tetapi bahasanya dilemparkan ke belakang. Kalau ada orang luar negeri sudi memungutnya menjadi anak angkat sangat bernasib baik; tetapi jika tidak ada siapa yang sudi memungutnya, bahasa Melayu itu akan mati kering tanpa kubur.
Jangan pula bangsa Melayu itu menjadi Pak Pandir yang mengatakan tidak sahaja anaknya yang mati, anak orang lain mati juga. Sampai sekarang tidak diketahui di mana kubur anak Pak Pandir itu. Buat apa kita peduli orang bodoh seperti Pak Pandir itu. Cuba tafsir dulu secara mendalam tindak tanduk Pak Pandir itu. Pengarang cerita itu seorang genius berbangsa Melayu!
Ahli bahasa yang melanjutkan segala usaha Pendeka bukan tidak ada. Mereka sungguh berjasa kepada bangsa dan negara yang dicintai. Mereka ini sangat bimbang tentang kesihatan bahasa Melayu itu. Penyakitnya semacam orang terkena kencing manis. Mula-mula ibu jari kaki dipotong, kemudian kaki, kemudian samoai ke paha dan sampai ke pinggang. Bila dipotong sampai ke leher nanti, bahasa itu akan mati.
Pendeta, merintihlah para pencinta bahasa di dalam hati. Perasaan ahli bahasa menjadi seperti emping ditumbuk. Hendak menangis takut dikatakan budak, hendak ketawa takut dikata petualang, hendak senyum takut dikata menyindir. Mereka menulis esei dan menulis buku tentang kesakitan bahasa itu. Tidak semua orang mahu membacanya kerana tidak ramai yang gemar membaca bahan-bahan berat.
Ada pula kisah guru yang mengajar bahasa Melayu di sekolah. Murid-murid pula menolak bahasa itu, kerana katanya tidak ada faedah. satu hari sang guru meminta pelajarnya menulis karangan berdasarkan simpulan bahasa, "bahasa jiwa bangsa." Naik pening sang guru kerana seorang pelajar menulis tentang bahasa burung yang digunakan oleh bangsa burung. Bila guru itu menceritakan kejadian ini di dalam bilik guru, semua guru terkekeh-kekeh ketawa!
Pelajar itu sebenarnya melontarkan sindiran yang tajam kepada gurunya (baca: bangsanya). Dia tidak peduli lagi berapa markah yang dia akan dapat, kerana pelajar ini jugalah yang secara berseloroh menyatakan belajar bahasa Melayu tidak ada faedah.
Jangan marah kepada pelajar itu, kerana dalam soalan tadi tidak dinyatakan bahasa apa dan bangsa apa. Mungkin karangannya tidak terpesong. Malah setelah guru itu meminta penjelasan daripada pelajar berkenaan tentang karangannya, pelajar itu menjawab, " Saya berfikir di luar kotak!"
Pendeta, inilah kakikat bahasa Melayu. Jerih perih Pendeta sepanjang hayat kerana memperjuangkan bahasa Melayu sungguh disanjung oleh bangsa Melayu yang cintakan bahasanya. Bahasa adalah warisan bangsa. Ia patut dikekalkan selagi ada hayat dibadan.
Pada hari ulang tahun ke 112, Pendeta Za'ba (lahir 16 September 1895 meninggal 23 Oktober 1973) menyaksikan bahasa Melayu sering gering. Suhu badannya panas, nafasnya tercungap2 dan kaki tangannya terkial-kial. Entah orang kampung mana sedang mengusung Keranda 152!