Sunday, February 10, 2008

:: Bodek atau ikhlas


Pemimpin perlu cakap benar, bukan sekadar membodek: PM

PERPADUAN: Abdullah melambung limau ke arah tetamu pada Majlis Perayaan Tahun Baru Cina sambil diperhatikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (belakang), Adun Seri Delima, Datuk Koay Kar Huah (dua dari kanan) dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy (tiga dari kanan), semalam.

Sokong secara ikhlas
Oleh Fazli Abdullah, Norakmah Mat Youb dan
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

GEORGETOWN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu pemimpin di sekelilingnya menjadi kawan yang ikhlas, bercakap perkara sebenar dan bukannya sekadar memberi pujian atau membodek. Perdana Menteri berkata, tindakan melaungkan pujian terhadapnya tanpa menyatakan kebenaran tidak akan membawa kebaikan.

"Semua pemimpin di sekeliling perlu bercakap dan memberitahu saya perkara sebenar daripada memberi pujian kerana sikap memuji dengan tidak menyatakan kebenaran tidak akan membawa kebaikan. Beritahu saja kebenaran daripada asyik hendak memuji saja. Apa yang saya inginkan ialah kawan yang menolong, bukan pembodek kerana sokongan yang tidak ikhlas akan (membawa) rebah. Sikap lebih memuji daripada menyatakan kebenaran tidak akan bawa kepada kebaikan terutama dalam setiap apa yang perlu dilakukan. Sebagai kawan, mereka perlu memberi maklumat dengan ikhlas dan menyatakan perkara yang benar kepada saya daripada menyembunyikan sesuatu yang sepatutnya saya perlu tahu," katanya berucap pada sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina di sini, semalam.