Monday, February 11, 2008

:: 118 ekor... RM25 ribu





Begitulah kalau dah rezeki... dengan hanya 118 ekor ikan... nelayan bertuah ini mendapat RM25,000.00.
KABONG (SARAWAK): Dalam kesibukan dan bahang sambutan Tahun Baru Cina, ungkapan ‘angpau’ semestinya sinonim dengan perayaan berkenaan di kalangan masyarakat berketurunan Cina.

Namun bagi seorang nelayan pesisir pantai di sini, dia juga tidak terkecuali daripada menerima ‘angpau besar’ pada sambutan perayaan berkenaan tahun ini apabila pukat yang dipasangnya mengena 118 ekor ikan panjang petang semalam.
‘Tuah ayam nampak di kaki, tapi tuah manusia tiada siapa yang tahu’, ungkapan yang tepat untuk Musa Lek, 41, seorang nelayan di Kampung Hulu di sini apabila berjaya menangkap ikan panjang yang setiap seekor ikan berkenaan mencecah berat belasan kilogram.

Apabila ditimbang jumlah berat kesemua 118 ekor ikan berkenaan adalah 1,565 kilogram tidak termasuk lapan ekor yang tidak dijualnya dan untuk kegunaan sendiri. Ikan panjang yang diperolehnya dijual kepada seorang pemborong ikan di sini.

Selepas dikira, Musa pada hari itu memperoleh RM25,800 dalam tempoh tidak sampai sehari ! . Sewaktu ditemui Utusan Borneo, Musa menjelaskan bahawa tangkapan ikan luar biasa itu merupakan pengalaman kali kedua dalam hidupnya sepanjang dia menjadi nelayan.
Katanya, dia juga pernah mendapat lebih seratus ekor ikan panjang pada tahun 2000. Bagaimanapun hasil jualannya tidak mencecah jumlah sebanyak itu kerana pada masa itu harga ikan tersebut masih rendah diterima oleh pemborong ikan.

Jika orang Cina percaya tahun 2008 tahun kekayaan, justeru Musa mungkin antara yang terkena tempias andaian itu. Namun apabila Musa diminta memberi komen tentangnya, dia hanya berkata ia tidak lebih daripada rezeki dan ketentuan Tuhan yang maha esa.

Menurut Musa, sewaktu melangkah turun dari rumah untuk ke laut, dia turun seperti biasa tanpa ada sebarang petanda istimewa.
Malah katanya sebaik bot nelayan kecilnya mula sampai ke muara untuk meredah lautan, dia dicabar ombak besar dengan keadaan langit yang agak gelap.
Malah katanya, salah seorang rakannya yang turut berada dalam bot di hadapannya telah mengambil keputusan untuk berpatah balik kerana bimbang akan cuaca yang kurang baik pada awal pagi itu.

Namun dia yang tidak mudah mengalah terus mengadu nasib untuk meredah lautan yang yang agak bergelombang untuk mendapat sekurang-kurangnya sedikit rezeki pada hari itu.
Begitupun, impian mendapat sedikit ikan pada hari itu bertukar sebaliknya sebaik menjelang jam 11.30 pagi apabila pukat hanyut yang dipasangnya dirempuh sekawan ikan panjang yang kemudiannya terapung seperti batang balak hanyut di permukaan air sebaik tersangkut pada pukat yang dipasangnya.

Menceritakan pengalamannya, Musa pada hari itu yang hanya bertemankan anak jirannnya yang berusia 13 tahun pada mulanya seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Namun apabila dia mula menarik pukat hanyut dekat dengan botnya maka hatinya berbisik, sejarah lapan tahun yang lalu nyata berulang lagi.
“Segala rasa penat terus hilang dan saya mengangkat kesemua ikan tersebut ke perahu dalam masa kira-kira sejam.
“Bila dihitung kesemuanya berjumlah 118 ekor. Bot saya agak kecil dan sewaktu balik ia begitu sarat sekali dan perjalanan pulang ke rumah memakan masa dua jam setengah berbanding sejam setengah pada kebiasaannya.
“Saya amat bersyukur dengan rezeki yang saya peroleh dan berhasrat untuk memperbaiki bot dan menambah kemudahan untuk saya menangkap ikan dengan wang yang ada di samping untuk membiayai persekolahan anak-anak,” ujarnya.