Wednesday, May 18, 2011

:: Tanjung Piai dihakis 12 meter setahun ?




Tanjung Piai makin ditelan laut
Oleh Azida Shaharuddin dan Tamam Othman
bhjb@bharian.com.my
2011/05/18



Foto

HAKISAN laut menyebabkan pokok bakau terhakis dengan teruk di persisiran Pantai Tanjung Piai.


Foto

HUTAN bakau mengalami hakisan teruk.



KUKUP: Taman Negara Tanjung Piai, yang juga tanah paling selatan benua Asia menyimpan pelbagai khazanah berharga alam semula jadi termasuk hutan paya bakau, flora serta fauna, mula berdepan dengan kemusnahan akibat hakisan.

Taman Negara Tanjung Piai alami hakisan purata 12 meter setiap tahun

KUKUP: Taman Negara Tanjung Piai, yang juga tanah paling selatan benua Asia menyimpan pelbagai khazanah berharga alam semula jadi termasuk hutan paya bakau, flora serta fauna, mula berdepan dengan kemusnahan akibat hakisan.

Ia diluluskan sebagai taman negara pada 1997 sebelum diisytiharkan antara Tapak Ramsar Malaysia pada 31 Januari 2003, sebelum diwartakan menjadi Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004 membabitkan kawasan seluas 926 hektar.

Kira-kira 526 hektar daripada kawasan taman negara ini meliputi hutan bakau, manakala bakinya dataran berlumpur. Pelbagai spesies bakau boleh didapati di taman negara itu termasuk bakau minyak, tulen, kurap, lenggadai dan bakau putih, selain dihuni hidupan seperti ketam, belacak, kera dan lotong cikong.

Bagaimanapun, sejak 2003 hingga 2006, hakisan menyebabkan hutan bakau di taman negara itu berkurangan sebanyak purata dua meter setahun di beberapa bahagian, namun sejak 2007, keadaan itu semakin membimbangkan apabila berlaku peningkatan hakisan hingga mencapai tujuh meter setahun.

Kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pula dikatakan merekodkan hakisan pada purata 12 meter di kawasan bakau taman negara itu setiap tahun.

Tinjauan mendapati, pokok bakau di kawasan terbabit cukup penting untuk bertindak sebagai zon pemampan daripada hakisan, ribut dan angin, mengurangkan kesan rumah hijau selain digunakan bagi pendidikan, penyelidikan dan rekreasi. Ia juga berfungsi sebagai pelindung dan penstabil ekologi ekosistem pulau.
Inisiatif perlu diambil bagi memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan bakau. Tentunya tanpa tindakan dari sekarang, khazanah alam di Kukup itu serta keselamatan penduduk sekitar Tanjung Piai semakin terancam manakala taman negara itu sendiri hilang keunikan dan popularitinya sebagai ikon pelancongan Johor.

Pengurus Taman Negara Tanjung Piai, Khalid Zahrom, berkata sebelum ini hutan bakau tumbuh berdekatan pelantar menempatkan glob yang menunjukkan pengunjung berada di tanah paling selatan benua Asia, selain di jambatan Pusat Peranginan Tanjung Piai, namun kini tumbuhan itu sudah musnah akibat hakisan.

Pelbagai faktor menyebabkan hakisan itu, jelasnya termasuk air pasang besar yang berlaku dua kali dalam sebulan serta tempoh kritikal fenomena itu antara Oktober hingga Februari setiap tahun.

“Selain itu kesan alur air daripada pergerakan bilangan kapal yang semakin meningkat setiap tahun, hujan dan angin kuat turut menghakis tanah hutan bakau ini menyebabkan hutan bakau kian berkurangan saban tahun," katanya.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Abu Bakar Mohamed Salleh, berkata kerajaan menyalurkan dana bagi pemeliharaan bakau sedia ada termasuk meletakkan tiub-geo sepanjang 800 meter sepanjang pesisir kawasan bakau pada 2003 yang menelan kos RM1.9 juta, namun keadaan itu tidak berkesan untuk mendepani air pasang besar.

“Selain itu kerajaan membelanjakan RM8 juta pada 2009 untuk membuat benteng menggunakan batuan besar sepanjang kira-kira 600 meter serta tiub-geo sepanjang 600 meter di kawasan bakau taman negara berkenaan.

“Tanpanya, air masin akan melimpah sekali gus merosakkan tanah kebun penduduk di Tanjung Piai dan mampu menjejaskan keselamatan penduduk terutama berdekatan pesisir pantai," katanya.

Difahamkan, kajian terperinci juga belum dilakukan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi mengenalpasti jumlah hakisan sebenar di taman negara itu.

Jamaliah Mohd Ali, 65, yang menetap di Kampung Serkat dekat ini sejak dilahirkan, mengakui banyak perbezaan jelas kelihatan pada Tanjung Piai berbanding dulu termasuk keadaan hutan bakau yang semakin menipis berhampiran rumahnya.