Saturday, May 14, 2011

:: SARAWAK : Kurang guru tempatan bagi subjek Pendidikan Agama Islam..?






Sarawak kurang guru tempatan bagi subjek Pendidikan Agama Islam

Posted on May 14, 2011, Saturday

KUCHING: Sarawak masih kekurangan guru tempatan bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam yang kini bergantung kepada guru dari Semenanjung Malaysia.

Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam berkata ia memaksa jawatan kosong bagi perkara berkenaan diisi oleh guru dari Semenanjung khasnya yang mengkhusus dalam bidang agama seperti kursus j-Qaf (Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain).

Tidak dinafikan di Sarawak memang ada kekurangan tenaga pengajar tetapi kata beliau bukan secara keseluruhan kerana ia kurang dari segi mata pelajaran yang diajar.

“Memang ada mata pelajaran yang kita masih kekurangan guru dan saya yakin perkara ini boleh diatasi malahan kita boleh menggunakan khidmat guru sandaran.

“Cuma sekarang ini apa yang saya nampak adalah mata pelajaran Pendidikan Agama Islam yang ramai menggunakan khidmat guru dari Semenanjung… jadi untuk anak-anak Sarawak saya merasakan kita masih kekurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran Festival Hari Guru 2011 anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kumpulan Utusan yang dihadiri oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan Datuk Mohd Nasir Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif TM Smart School Zainudin Ismail di Tebingan Kuching di sini, semalam.

Beliau yang mengulas mengenai pelaksanaan pengambilan 50 peratus anak tempatan bagi profesion keguruan berkata ia bergantung kepada guru yang ditempatkan.

Namun katanya, apa yang utama kini adalah guru harus ada dalam kelas tanpa mengira dari mana asalnya kerana yang penting proses pengajaran dan pembelajaran itu harus berjalan.

“Memang usaha kita meramaikan guru tempatan bagi dimasukkan ke Institut Pendidikan Guru bagi mendapat latihan dan itu yang kita lakukan pada masa sekarang.

“Kalau kita tidak dapat memenuhi 50 peratus, yang utama bagi saya sebagai pengarah adalah ada guru dalam kelas tanpa mengira dari mana mereka datang,” tegasnya.

Malahan beliau mendedahkan bahawa daripada kira-kira 43,000 guru sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri ini, majoriti daripada mereka adalah anak tempatan.

Berhubung langkah menggunakan khidmat Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) katanya, di Sarawak masih ada sekolah yang menggunakan khidmat mereka.

Beliau menjelaskan bahawa, bagi menempatkan GSTT di sekolah ia harus bergantung kepada jumlah waran perjawatan yang diberikan kepada Jabatan Pelajaran.

“Setakat ini di Sarawak masih ada sekolah menggunakan khidmat GSTT kerana kalau ada kekosongan kita akan gunakan dan untuk itu kita memerlukan kelulusan daripada kementerian (Jabatan Perkhidmatan Awam) waran perjawatan yang diberikan kepada kita,” kata Abdillah.

Beliau yang ditanya mengenai isu guru yang balik awal (pada Jumaat) atau tidak ada semasa persekolahan, berkata setakat ini tidak ada laporan rasmi mengenainya kepada jabatan.

“Sejak saya berkhidmat dua bulan ini, tidak ada laporan rasmi dibuat… kalau ada yang balik mungkin kerana mereka ada urusan, misalnya yang membabitkan kewangan.

“Mereka tidak ada pilihan terutamanya yang berada di pedalaman dan kalau mereka datang pada Sabtu macam mana mahu berurusan.

“Itu yang kadang-kadang masyarakat dan ibu bapa salah faham,” kata Abdillah.