Thursday, May 12, 2011

:: SURAT : Kuarters guru...?






Kuarters guru rosak, bocor berulang kali


2011/05/11


SAYA ingin memberi respons kepada laporan mengenai kuarters guru terbiar khususnya di luar bandar. Saya adalah seorang guru yang pernah tinggal di kuarters pendidikan di Pahang.

Pada mulanya penginapan di sana amat selesa kerana masih baru dan dilengkapi perabot. Saya tidak kisah dengan jaraknya yang agak jauh dari tempat mengajar kerana berpagar dan agak selamat untuk anak saya. Namun, selepas hampir dua bulan, keadaan mula berubah.

Tandas mula tersumbat dan bocor. Air bilik mandi sering bertakung menyebabkan keadaan bilik mandi mudah kotor. Tandas unit saya baik, tetapi tandas atau paip najis di tingkat atas bocor. Air najis menitis di unit saya dan baunya kurang menyenangkan.

Saya terpaksa membersihkan air najis yang menitis setiap masa. Keadaan bertambah teruk dan berulat, menyebabkan saya terpaksa menutup tandas itu. Saya mengadu kepada unit pembangunan di Pejabat Pelajaran Daerah. Malangnya, usaha untuk membaik pulih kerosakan dilakukan hampir tiga bulan selepas aduan dibuat. Sebab apa? Kami pun tidak tahu.

Selepas dibaiki, saya sekeluarga terus tinggal di kuarters itu. Tetapi tandas itu bocor kembali dan menjadi lebih teruk dari sebelumnya. Kebocoran paip juga turut berlaku di dapur menyebabkan air sinki menghujani kabinet dapur dan lantai.

Saya terus menghubungi pihak berkenaan, malangnya, usaha membaik pulih tidak dapat dilakukan secepat mungkin atas alasan ketiadaan bajet. Kuarters saya menjadi terlalu kotor dan berbau, menyebabkan ia tidak sesuai untuk didiami apatah lagi untuk menerima tetamu.

Apakah tindakan pihak berkenaan terhadap kuarters yang rosak ini. Kami akur dengan memotong elaun kami, untuk tinggal di kuarters tetapi kementerian gagal menyelenggara sebaik mungkin kerosakan sistem kumbahan yang boleh mendatangkan penyakit.
Saya lebih selesa tinggal di rumah sewa sementara menanti rumah sendiri siap. Kuarters dibiarkan tidak diselenggara.

RAMESH,
Guru DG41.


...............................................................................................



Lokasi jauh antara punca premis terbiar


2011/05/11


TERDAPAT kira-kira 3,000 unit kuarters guru khususnya di luar bandar di seluruh negara dilaporkan terbiar dan tidak didiami guru bertugas di kawasan berkenaan. Antara faktor kuarters ini tidak didiami adalah kerana lokasinya tidak sesuai, jauh dari kemudahan awam dan tidak menjaminkan keselamatan penghuni kerana persekitarannya terpencil.

Ini dinyatakan oleh Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Adnan Hashim melalui makluman diperoleh dari Kementerian Pelajaran.

Apabila terbiar dan tidak digunakan, maka berlaku kerosakan kerana ia tidak diselenggarakan dengan sempurna oleh pihak bertanggungjawab dan ini merugikan kerajaan kerana prasarana ini dibina dengan jutaan ringgit demi keselesaan guru.

Faktor lain disuarakan guru ialah reka bentuk kuarters lima tingkat yang kebanyakan unit tingkat atas tidak dihuni. Ia tidak digemari guru kerana terpaksa menaiki tangga setiap hari.

Kementerian Pelajaran juga merancang menukar status kuarters tidak diguna pakai ini kepada Persatuan Latihan Dalam Perkhidmatan (PLDK) sebagai pusat latihan dan kursus.

Pada pandangan saya, faktor perancangan institusi pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah patut dilaksanakan dengan lebih komprehensif.

Kuarters guru setinggi lapan tingkat dengan kemudahan lif akan dapat menyelesaikan masalah kekurangan unit dan menjadikan sesebuah sekolah itu lebih selamat kerana berpenghuni dan memberi banyak manfaat dari segi aktiviti guru dan murid.

MOHD KAMALUDIN ADAM,
Pemilik firma Arkitek ibnuADAM.



1 comment:

Anonymous said...

helo, mau tanya.. macamana dan dimana untuk membuat aduan mengenai kuarters guru?kepada siapa aduan harus ditujukan?