Wednesday, May 18, 2011

:: Komputer riba percuma di Limbang...ada ceritanya...







sekadar hiasan


Terima bil setiap bulan, walaupun kawasan tiada liputan internet

by Mastura Ismail. Posted on May 18, 2011, Wednesday

LIMBANG: Pelik tapi benar, penduduk pedalaman di sini yang mendapat kemudahan komputer riba 1Malaysia ‘kebingungan’ apabila menerima bayaran bil setiap bulan meskipun tidak mendapat liputan atau akses internet di kawasan mereka.

Namun itulah masalah yang dihadapi oleh penduduk pedalaman di sini apabila terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membayar bil internet yang dikirim pihak terbabit setiap bulan.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah mahu Telekom Malaysia Berhad dan agensi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya berbincang dan mengatasi masalah tersebut.

“Kita menerima aduan daripada penduduk dan penerima kemudahan komputer riba yang menerima kiriman bil setiap bulan bagi bayaran kemudahan internet.

“Keadaan itu menimbulkan persoalan kerana kawasan mereka (pedalaman) memang tidak mempunyai liputan internet,” katanya selepas majlis penyerahan komputer riba 1Malaysia bagi kawasan Parlimen Limbang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Limbang di sini, semalam.

Hasbi berkata SKMM perlu berhubung dengan pihak Telekom untuk mengetahui dan mengenal pasti kawasan-kawasan yang tidak mempunyai kemudahan liputan internet.

“Ini penting agar kawasan yang tidak menerima kemudahan internet tidak lagi menerima kiriman bil bagi bayaran internet yang tidak pernah digunakan oleh mereka, pada setiap bulan,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau juga berharap kemudahan komputer riba dapat diagihkan kepada golongan yang layak.

“Kita tidak mahu mereka yang tidak layak menerima kemudahan ini kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada orang lain.

“Pihak yang dipertanggungjawabkan perlu memilih pelajar yang benar-benar layak bagi mendapatkan kemudahan tersebut,” katanya lagi.

Penilaian jelasnya, harus berlandaskan syarat minima dan keluarga yang berpendapatan di bawah RM3,000 bagi mencapai hasrat 1 Keluarga 1 Komputer.

Selain itu Hasbi turut menasihati para pelajar agar tidak menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk melayari laman sesawang yang tidak berfaedah, sebaliknya memanfaatkannya untuk kemudahan pendidikan dan ilmu.


.....................................................................................


http://www.theborneopost.com/?p=131127


Posted on May 18, 2011, Wednesday

Lebih 60,000 komputer riba 1Malaysia sudah diagihkan

Oleh Mastura Ismail


LIMBANG: Lebih 60,000 komputer riba 1Malaysia telah diagihkan kepada pelajar sekolah menengah di negeri ini melalui keprihatinan kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dan agensi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun ini.

Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata daripada jumlah itu sebanyak 1,000 unit komputer riba turut diagihkan kepada para pelajar melibatkan lima buah sekolah menengah di daerah ini.

Sekolah yang menerima kemudahan itu termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama sebanyak 150 unit, SMK Sri Patiambun (275 unit), SMK Limbang (150), SMK Kubong (150) dan SMK Medamit (275).

“Kesemua usaha ini akan memberi manfaat kepada rakyat di sini dari segi celik Teknologi Maklumat (IT), peningkatkan ekonomi, peluang pekerjaan dan peniaga , golongan remaja dan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia bagi Parlimen Limbang di SMK Agama di sini, semalam.

Turut sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail, Wakil Pengarah Wilayah SKMM Negeri, Fadelida Hanim Abdul Razak, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Annuar Naim dan Penolong Kanan Kokurikulum SMK Agama Limbang, Ahmad Rambli.

Hasbi berkata lagi sejumlah 500 unit komputer riba bagi fasa pertama sudah diagihkan kepada pelajar membabitkan tiga buah sekolah menengah di sini pada tahun lalu.

Jelasnya peranan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) begitu penting sebagai jentera kemajuan ekonomi negara dan juga mempertingkat kualiti pendidikan menerusi pembelajaran menggunakan ICT.

“Ia dapat memajukan dan merealisasikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan komunikasi tanpa meminggirkan masyarakat di bandar dan luar bandar,” katanya.

Tambahnya, kerajaan pusat dan negeri begitu komited, ikhlas dan prihatin membantu penduduk di negeri ini mempertingkatkan kemahiran ICT.

Hasbi memberitahu program sedemikian adalah sebahagian daripada pelan kerajaan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (JLN) untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah negara.

“Selain itu terdapat beberapa inisiatif lain yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk di daerah ini.

“Antaranya Pusat Jalur Lebar Komuniti Batu Danau, Kampung Tanpa Wayar Bunga Raya, Taman Desa Pabahanan, Nanga Medamit dan Pangkalan Madang serta kawasan lain,” ujarnya lagi.

Inisiatif ini tambahnya akan menyumbangkan kepada hasrat Perdana Menteri untuk mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi mengikut landasan model ekonomi baru.

“Saya amat berharap masya-rakat setempat agar memanfaatkan kemudahan ini untuk menjana ekonomi dan menyokong usaha SKMM bagi faedah bersama,” katanya.

Katanya lagi sokongan berterusan dan jalinan kerjasama erat antara SKMM dan pihak sekolah di sini mampu meningkatkan pencapaian akademik anak-anak Limbang.