16 Mei, 2011 20:44 PM
dari kiri: Datuk Prof. Dr. Abdul Rahim Selamat (Melaka), Datuk Siva Subramaniam (Perak), Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak), Tan Sri Muhyiddin Yasin (Tim. Perdana Menteri @ Menteri Pelajaran), Datuk Abd. Ghafar (Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,), Datuk Rita Jaafar (Sabah), wakil Puan Hamedah Wok Awang (Pahang) dan Datuk Matnor Daim (Sarawak).
Datuk Matnor Daim Dinobatkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011
KUCHING, 16 Mei (Bernama) -- Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Nor Daim @ Matnor Daim dinobatkan sebagai penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011 sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-40 hari ini.
Anak kelahiran Sibu, Sarawak itu menerima pingat emas, plak, sijil dan wang tunai berjumlah RM10,000.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis sambutan itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini. Hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Matnor, 68, yang memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan pada tahun 1997 sebelum bersara sentiasa memajukan bidang pendidikan demi anak bangsa.
Beliau merupakan seorang yang bertanggungjawab mencetuskan "pemikiran kreatif dan lateral" di Kementerian Pelajaran dan mula menggunakan Modul Simulasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran seawal tahun 1974.
Matnor telah banyak mencurahkan idea bernas dan sumbangan kepada bidang kepimpinan pendidikan melalui penglibatan aktif dalam seminar-seminar di dalam dan luar negara.
Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Matnor berkata dengan berbekalkan semangat dan motivasi menerusi pendidikan, guru mampu berdepan dengan apa juga cabaran dalam menjalankan tugas mereka.
Pada majlis itu, empat tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dipilih sebagai Tokoh Guru 2011. Mereka ialah Datuk Prof Dr Abdul Rahim Selamat dari Melaka, Datuk Siva Subramaniam dari Perak, Hamedah Wok Awang dari Pahang dan Datuk Rita Jaafar @ Rita Bagong dari Sabah. Masing-masing menerima pingat emas, plak, sijil dan wang tunai RM10,000.
Abdul Rahim, Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Industri Selangor (UNISEL), berkata para pendidik harus sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam usaha melahirkan modal insan.
"Mereka (guru) harus sentiasa belajar dari semasa ke semasa agar tidak ketinggalan dari segi ilmu pengetahuan yang berubah dengan laju," katanya.
Siva yang juga bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pula berkata anugerah Tokoh Guru memberi satu inspirasi kepada beliau untuk terus berjuang dalam bidang pendidikan untuk melahirkan lebih ramai modal insan.
"Saya berasa syukur dan bangga kerana ia merupakan satu penghargaan yang paling istimewa," kata Siva yang banyak menyumbang dalam bidang kurikulum seperti memberikan latihan kepada guru-guru bahasa Inggeris, terlibat dalam pembinaan Modul Pengajaran Sains dan Matematik serta melatih murid-murid dalam aktiviti syarahan.
Bagi Rita yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk meningkatkan kualiti latihan perguruan melalui teknik baru dan kaedah pengajaran serta pembelajaran, profesion perguruan memerlukan kerjasama semua pihak untuk melahirkan generasi muda yang akan memajukan negara pada masa akan datang.
"Profesion perguruan bukan kejayaan satu-satu pihak tetapi kejayaan semua dalam profesion ini. Pegangan hidup saya ialah do the best for all," katanya.
Sementara itu, Hamedah yang lumpuh separuh badan berikutan satu kemalangan jalan raya pada tahun 1999, tidak hadir pada majlis hari ini. Koma selama enam bulan akibat kemalangan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyumbang dalam bidang pendidikan.
Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, beliau telah berjaya menghasilkan 12 buah karya berkaitan pendidikan.
-- BERNAMA