Monday, May 30, 2011

:: Buaya menyerang Jeffryson di Sg. Skrang





Lelaki mati diserang buaya

by Edwin Raoh. Posted on May 30, 2011, Monday













Mayat mangsa ditemui di kawasan Tabut pada jam 8 pagi

SKRANG: Mayat mangsa serangan buaya di Sungai Skrang, Engkilili sekitar jam 5.30 petang kelmarin berjaya ditemui di kawasan Tabut, Skrang pada jam 8 pagi, semalam (Ahad).

Ketua Polis Balai Skrang Sarjan Rasit Bunya berkata, mayat mangsa Jeffryson Sali, 26, dari Rumah Jangin, Kejemut, Skrang ditemui terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian oleh pasukan pencari dan penyelamat.

Menurutnya, mayat mangsa didapati mengalami patah kedua-dua kaki, berlubang di bahagian paha kanan, kesan calar akibat gigitan dipercayai buaya di bahagian perut termasuk kesan cakaran kuku reptilia ganas di bahagian tubuh mangsa.

Mayat Jeffryson telah dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman untuk tujuan bedah siasat pagi semalam.

Rasit berkata, sebelum kejadian mangsa dipercayai mandi di kawasan jeti Sungai Skrang bersama seorang rakannya, petang Sabtu lalu.

“Mangsa mandi dengan seorang rakannya di jeti mandi rumah panjang itu dan rakannya balik terlebih dulu ke rumah panjang mereka manakala mangsa tinggal keseorangan di sungai itu.

“Apabila menyedari Jefferyson masih belum pulang ke rumah panjang, rakan mangsa balik semula ke jeti untuk mencari mangsa namun gagal,” katanya kepada Utusan Borneo semasa dihubungi, di sini, semalam.

Kemudian gerakan mencari dilancarkan di sekitar kawasan sungai itu sebelum mayat mangsa ditemui terapung di kawasan Tabut dipercayai terbunuh akibat serangan buaya pada pagi semalam.