KUCHING: Guru dari negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutamanya guru agama dinasihatkan tidak membawa budaya dan pemikiran negatif ke Sarawak.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, budaya dan anasir negatif terhadap kerajaan yang disebarkan dari Semenanjung Malaysia dikhuatiri menjejaskan perpaduan kaum di Sarawak.
“Kita di Sarawak serba salah kerana kita mempunyai masalah kekurangan guru, walaupun demikian memang kita mengakui ada segelintir guru dari Semenanjung Malaysia terutamanya dari Kelantan datang ke sini membawa budaya dan cara pemikiran terhad dan tertutup ke sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Batu 13 Jalan Kuching-Serian semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kemasukan guru terutamanya guru agama dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak.
Tambahnya, Majlis Islam Sarawak (MIS) sentiasa memantau kes-kes penyelewengan budaya tidak sihat di sekolah-sekolah untuk mencegah perkara itu berlaku.
“Jika kita dapati ada guru agama dari Semenanjung Malaysia berkelakuan demikian, mereka boleh diambil tindakan dengan menghantar mereka pulang.
“Jadi orang ramai yang dapat statistik (bukti) yang mengatakan mereka (guru agama) ini benar-benar berkelakuan demikian harus memaklumkan kepada kami supaya dapat dibawa ke pihak Jabatan Pelajaran untuk diambil tindakan,” tegasnya.
Selain itu, Daud menyarankan agar menambah bilangan guru dari Sarawak untuk mengisi kekosongan itu.
“Pihak pendidikan boleh memberi kursus jangka pendek kepada bakal guru tempatan yang ada pendidikan agama dalam masa setahun untuk mengisi jawatan itu,” katanya.
Beliau menjelaskan, bilangan guru agama diperlukan adalah banyak terutamanya di sekolah rendah dan menengah.
“Saya harap pihak pelajaran dalam jangka masa panjang akan mengisi jawatan tersebut dengan anak-anak Sarawak,” kata Daud.
Beliau meluahkan rasa yakin dengan anak Sarawak walaupun mempunyai pendidikan agama, mereka berfikiran positif dan tidak membawa budaya-budaya yang boleh memecah belahkan perpaduan kaum di Sarawak.
“Kita tidak cukup guru agama jadi kita terpaksa meminjam guru agama dari Semenanjung Malaysia untuk memenuhi kekosongan itu,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri James Masing meluahkan rasa kebimbangan tentang kemasukan 18,000 guru dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak yang dikhuatiri akan menjadi isu politik.