11 Mac, 2010 14:27 PM
MEB Peringkat Pertama Akan Diumumkan Pada 30 Mac
PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Model Ekonomi Baru (MEB) peringkat pertama akan diumumkan pada 30 Mac, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis.
Katanya MEB peringkat kedua akan diumumkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
"Kita akan umumkan (mengenai MEB itu) tetapi ia akan berdasarkan dua peringkat. Peringkat kedua akan menjadi sebahagian daripada RMK-10 dan tidak lama selepas itu, yang bergantung kepada prosesnya."
"Ini ialah kerana kita mahu mendapatkan padangan semua pihak yang berkepentingan," katanya kepada pemberita selepas menerima secara rasmi Laporan Tahunan 2009 PEMUDAH dan melancarkan Buku Garis Panduan Pendaftaran Hartanah di Malaysia.
MEB dijangka lebih ampuh untuk melonjakkan negara bagi mencapai status negara maju dan menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.
Selain itu, Najib berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini sedang melaksanakan satu kajian mendalam mengenai kemungkinan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP).
"Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Amerika Syarikat telah dibatalkan. Mereka kini lebih berminat untuk mengusahakan satu inisiatif perdagangan pelbagai hala," katanya.
TPP adalah satu perkongsian yang melibatkan Brunei, Singapura, Chile, New Zealand, Amerika Syarikat, Australia, Peru dan Vietnam, dan mesyuarat seterusnya akan diadakan di Australia pada bulan ini.
"Jika ia bermanfaat kepada Malaysia, kabinet akan membuat keputusan muktmad mengenainya. Tetapi, ia tidak boleh memakan masa yang lama kerana beberapa peristiwa akan berlaku," katanya.
-- BERNAMA