Friday, March 05, 2010

:: Pilihanraya Sarawak.. bergantung kepada inspirasi saya

Taib Mahmud Arah Parti Siap Sedia Untuk Pilihan Raya Negeri

KUCHING, 4 Mac (Bernama) -- Anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diarah supaya menyediakan jentera pilihan raya untuk menghadapi pilihan raya negeri yang mungkin boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja ketika ini.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Presiden parti PBB berkata berdasarkan kepada 'mood' anggota parti sejak perhimpunan agung minggu lepas, mereka kelihatan bersungguh dan bermotivasi untuk menghadapi pilih raya.

"Saya mungkin panggil (pilihan raya negeri) awal, atau lewat, bergantung kepada inspirasi saya," katanya kepada pemberita selepas menutup perhimpunan agung PBB di sini Khamis.

Beliau yang enggan mendedahkan kemungkinan bila pilihan raya negeri diadakan berkata parti mesti perlu cukup bersedia menghadapi pilihan raya bagi memastikan kejayaan cemerlang calon-calonnya.

Walaupun penggal kerajaan semasa berakhir pada Julai tahun depan, ramai pemerhati politik percaya Ketua Menteri mungkin akan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal bagi merebut peluang faktor 'feel good' dengan keadaan ekonomi negara yang semakin pulih dan banyak 'pemberian kerajaan' diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatannya ke kawasan pedalaman di Sarawak baru-baru ini.

Spekulasi pilihan raya semakin bertambah kencang ekoran lawatan-lawatan yang kerap diadakan oleh menteri-menteri kabinet ke Sarawak setiap bulan sejak tahun lepas.

Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) memenangi 62 daripada 71 kerusi pada pilihan raya negeri Mei 2006 lepas dengan PBB memenangi 35 kerusi di kawasan majoriti bumiputera.

Selain PBB lain-lain komponen BN Sarawak ialah Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Dalam perkembangan lain Abdul Taib berkata pada mesyuarat perhimpunan, para perwakilan menyuarakan harapan mereka agar semua projek pembangunan yang dirancang oleh kerajaan Persekutuan dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata majoriti perwakilan mahukan supaya projek-projek itu dilaksanakan dengan segera bagi membolehkan Sarawak setanding dengan negeri-neger lain.

-- BERNAMA