Thursday, March 25, 2010

:: SK Rumah Mentali, Saeh.. masalah air ?

Murid mandi air sungai masin

March 25, 2010, Thursday


Lebih 10 tahun warga SK Rumah Mentali bergantung dengan sungai dan air hujan

NIAH, Miri: Jika murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Sepupuk Niah terpaksa berebut kolam dengan rumput, lain pula ceritanya di SK Rumah Mentali, Saeh, yang terpaksa menggunakan air masin untuk keperluan seperti mandi.


KOTOR: Tila Chakok menunjukkan air Sungai Saeh Merah yang menjadi nadi utama kepada sekolah dan penduduk rumah panjang berhampiran.

KOTOR: Tila Chakok menunjukkan air Sungai Saeh Merah yang menjadi nadi utama kepada sekolah dan penduduk rumah panjang berhampiran.

Pihak sekolah memberitahu, setiap kali musim kemarau, mereka terpaksa mengepam air dari Sungai Saeh Merah yang masin sehingga apabila digunakan mandi, sabun pun tidak berbuih.

Seorang guru, Tila Chakok ketika ditemui berkata, mereka dan murid-murid sekolah tiada pilihan memandangkan itu sahaja sumber air yang mereka ada untuk mandi manakala air hujan pula digunakan untuk memasak.

“Bagi keluarga yang besar mereka menghadapi masalah kritikal untuk melakukan aktiviti harian seperti memasak dan mandi. Berbanding keluarga kecil, mereka boleh mengangkut air bersih dari pekan Batu Niah,” katanya semalam.

Tila ditemui pemberita semasa mengiringi lawatan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Shafiee Abdullah; Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ripin Lamat di SK Rumah Mentali di Saeh semalam. Hadir sama ialah Tuai Rumah (TR) Mentali Gesa.

Tila yang sudah tujuh tahun mengajar di sekolah itu berkata, mereka sudah lama menggunakan air masin tersebut iaitu sejak sekolah itu dibuka lebih 10 tahun lalu.

“Dulu kita mandi di Sungai Saeh yang masin ini, namun selepas ada bekalan elektrik yang disediakan Kementerian Pelajaran sejak dua tahun lalu, kita menggunakan bekalan air yang dipam dari sungai yang sama,” katanya.

“Kos pemasangan pam air ini tidak mahal, namun ia turut mengepam air yang kotor selain masin,” katanya sambil menambah, sekolah tersebut mempunyai 21 kakitangan termasuk guru serta 62 pelajar.

Mengulas perkara ini, Mohd Shafie memberitahu, masalah yang dihadapi sekolah dan rumah panjang berhampiran akan dirujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya akan membawa perkara ini kepada beliau (Najib) untuk melihat apa tindakan yang sewajarnya.

“Kita akan mengenal pasti langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah ketiadaan bekalan air bersih di sini,” katanya lagi.

Namun katanya, berbanding kampung di Marudi yang dikunjungi beliau kelmarin, penduduk di SK Rumah Mentali dan sekitarnya masih bertuah kerana mempunyai bekalan air berbanding tempat lain yang langsung tiada sumber air selain hujan.