Saturday, March 13, 2010

:: SPM: Tan Yee Kim - pelajar Sarawak terbaik ?

SPM: Pelajar Sarawak terbaik

Pelajar SMK Green Road, Gladys Tan Yee Kim pelajar terbaik SPM 2009 di M’sia

KUCHING: Kecemerlangan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Gladys Tan Yee Kim daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road melayakkan dirinya diiktiraf pelajar terbaik di Malaysia, sekali gus mengharumkan nama Sarawak.

PELAJAR TERBAIK MALAYSIA: Mary mencium pipi anaknya, Gladys (tengah) yang berjaya mendapat keputusan 10A+ dalam SPM. Turut kelihatan, Johnny (kiri.)

PELAJAR TERBAIK MALAYSIA: Mary mencium pipi anaknya, Gladys (tengah) yang berjaya mendapat keputusan 10A+ dalam SPM. Turut kelihatan, Johnny (kiri.)

Gladys yang berjaya mendapat 10A+ ketika ditemui di sekolahnya semalam seakan-akan tidak percaya ketika dimaklumkan oleh pemberita bahawa beliau merupakan pelajar terbaik di negara ini.

Menurutnya, kejayaannya tersebut tidak dijangka kerana sebelum ini rata-rata pelajar terbaik di Malaysia merupakan dari Semenanjung.

“Saya berasa amat gembira apabila mengetahuinya.

“Saya juga tidak menjangka bahawa saya berjaya menjadi pelajar terbaik (SPM) di Malaysia,” katanya dengan teruja.

Gladys berkata tidak ada sebarang rahsia untuk berjaya, cuma usaha gigih yang berterusan.

Menurutnya, beliau hanya perlu bijak mengimbangkan waktu riadah dan waktu belajar.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak menetapkan bila waktu sesuai untuk belajar.

“Saya tidak mempunyai waktu belajar yang spesifik, tetapi jika rasa saya mahu belajar pada waktu itu, saya akan belajar,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

Jelasnya, beliau mengamalkan konsep ‘play hard, study smart’.

Apa yang penting, katanya adalah memberi tumpuan penuh dalam kelas dan sentiasa bertanya jika kurang faham.

Menurutnya, beliau juga mengikuti kelas tuisyen dalam mata pelajaran Fizik dan Bahasa Melayu, hanya untuk mendapatkan tips tambahan bagi menguasai subjek itu.

Beliau yang mempunyai bakat dalam bermain piano juga merupakan pemain pia-no di gerejanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menerima pendidikan formal dalam mempelajari alat muzik tersebut tetapi hanya mendapat tunjuk ajar asas piano daripada kakak sulungnya.

Ketika ditanya mengenai rancangannya selepas ini, beliau memaklumkan ingin meneruskan pengajiannya dalam bidang sains tetapi belum memastikan kursus yang bakal diambilnya.

“Jika pemohonan saya untuk mendapatkan biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diluluskan, saya ingin belajar di Univer-siti Melbourne, Australia,” katanya.

Menurutnya, kakak sulungnya belajar di universiti tersebut dan kini mengajar di Sekolah Antarabangsa Lodge.

Seorang lagi kakaknya masih belajar di Universiti Malaya dan abangnya kini bekerja sebagai jurutera.

Menyifatkan kerjaya guru sebagai mulia, beliau turut menyatakan hasratnya untuk menceburi bidang pendidikan bagi mengikuti jejak langkah kakaknya serta bapanya yang merupakan pesara guru Mate-matik Tambahan sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurut bapanya, Johnny Tan Hui Hua, 60, kecemerlangan anaknya itu merupakan impian setiap ibu bapa di dunia.

“Setiap ibu bapa mengharapkan yang terbaik daripada anak-anak mereka.

“Bagaimanapun, sekiranya beliau (Gladys) tidak berjaya menjadi pelajar terbaik di Malaysia pun tidak mengapa kerana beliau telah mencuba sedaya upaya,” kata-nya sambil menambah kesemua anaknya belajar di sekolah yang sama.

Menurutnya, anaknya ter-sebut merupakan seorang yang cepat belajar.

Sementara itu, menurut ibunya, Mary Lim Beng Biau, 48, yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank, anak bongsunya itu merupakan seorang yang sangat rajin.

“Beliau pandai membahagi masa untuk belajar, menonton televisyen, bermain permainan komputer, bermain piano dan melakukan aktiviti lain,” katanya.

Melihat Gladys yang mempunyai terlalu banyak aktiviti luar, kadang-kadang beliau (Mary) risau anaknya melupakan waktu belajar.

Tetapi, katanya beliau meletakkan kepercayaan penuh kepada anaknya dan usaha anaknya selama ini tidak sia-sia.

Pengetua SMK Green Road Putit Ped pula berkata, kecemerlangan pelajarnya itu sememangnya dapat dijangkakan sejak beliau di Tingkatan 1 lagi.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan pembelajaran beliau dan seperti yang saya sentiasa katakan kepada mereka, ‘jika anda mendapat keputusan cemerlang, anda akan mendapat pasport ke universiti bertaraf dunia,” katanya.

Menurutnya, sekolah itu mendapat sebanyak 91 ke-putusan cemerlang.

Seramai lima orang pelajar mendapat 12A, 11 orang (11A), 21 orang (10A), 27 orang (9A), 18 orang (8A) dan sembilan orang (7A), kata-nya.

“Berdasarkan kualiti keputusan, tahun ini merupakan yang terbaik,” katanya.